Sunday, February 12, 2012

Lagenda Mat Kilang #Aku & BOLA


Merujuk gambar di atas, kelihatan satu entiti yang yang sangat pelik dan rasanya agak mustahil untuk berada di dalam rumah aku. Bagi yang kenal kepada pejoging ini, pasti mereka akan kata piala plastik bergambar bola itu adalah hasil Photoshop. Whoa!.


Bagaimana ia bermula…
Sejarah aku bersama bola sepak bermula semasa aku darjah 6. Waktu itu adalah waktu Pendidikan Jasmani dan seperti biasa semua pelajar akan memakai pakaian sukan dan berada di padang sekolah. Tapi hari itu cikgu PJ kami tidak dapat datang dan beliau diganti oleh cikgu Sains kami iaitu cikgu Erwan (Nama Sebenar).

Untuk memudahkan urusan, CIkgu Erwan hanya datang bersama dua biji bola. Bola tampar untuk pelajar perempuan dan bola sepak untuk pelajar lelaki. Sebagai pelajar yang boleh perasan sopan dan tidak suka berebut, aku menjadi sangat pasif di dalam padang. Cikgu suruh aku menjadi Defend di sayap kiri, aku pun berada tercengang di sebelah kiri padang.

Hanya selepas beberapa minit perlawanan dimulakan, kumpulan aku kalah satu jaringan. Cikgu membuat keputusan menyuruh kumpulan yang kalah untuk membuka baju bagi memudahkannya membezakan kedua-dua pasukan. Akibatnya, aku menjadi bertambah pasif dan sering menarik seluar yang terlondeh supaya sentiasa berada di atas pusat dan aku menutup badan dengan tapak tangan. Kenapa? Sebab di padang sebelah pelajar perempuan sedang asyik bermain bola tampar. Titik.

Aku mula berazam untuk membenci bola sepak apabila aku berpeluang mendapat bola (sebab bola itu bergolek ke arah aku). Semasa salah seorang kawan aku datang merampas bola tersebut, aku cuba untuk menggelecek. Akibatnya kawan aku tadi terjatuh entah kenapa. Aku tiba-tiba berhenti, meminta maaf dan cuba menolong kawan aku bangkit. Rasanya apa yang aku buat itu tidak salah. Tapi kenapa cikgu marah aku?.

Bagaimana ia berterusan…
Keadaan ini berterusan. Semasa sekolah menengah, aku adalah AJK untuk menyediakan air minuman apabila kelas aku menghantar pasukan bola sepak di peringkat sekolah. Dan ia juga berterusan hingga ke menara gading…

Bagaimana sekarang…
Sekarang aku sudah bekerja sebagai Mat Kilang. Kilang ini menyediakan sebuah rumah untuk aku tinggal. Ironinya, rumah ini hanya beberapa langkah dari gelanggang futsal di sini. Selepas satu anjuran, penganjur lain akan membuka anjuran lain. Gelanggang futsal ini adalah satu-satunya tempat untuk mat-mat kilang bersukan. Aktiviti pada waktu malam adalah menonton perlawanan futsal. Itupun jika tidak bermain futsal.

Aku pun tidak ketinggalan untuk menonton atas alasan ingin merapatkan hubungan dengan penduduk setempat dan untuk mengisi malam-malamku dengan perkara selain membaca dan menonton movie.

So?
Jadi, piala di atas adalah hadiah tempat ke-tiga pertandingan Futsal yang dimenangi oleh pasukan yang menggunakan nama aku untuk mencukupkan ruangan pemain menjadi tujuh orang.

Catatan:
1) Tidak biasanya aku menulis tentang diri aku dalam blog ini jika ia tidak ada pengajaran.
2) Jika ingin membenci sesuatu perkara yang tidak jelas buruknya, maka bersederhanalah.
3) Rasanya aku makin kurang benci dengan bola. Tapi aku masih takut dengan bola.
4) Mungkin satu hari nanti, kamu (orang-orang yang kenal aku dan sedang baca entri ini) akan melihat aku bermain bola dengan gembiranya walaupun melawan budak-budak.
5) Sudah lama aku tidak dapat piala. Tidak pernah aku dapat piala kerana bola!.
6) Sedang terpengaruh dengan buku ‘Diari Mat Kilang’ karya Bahruddin Bekri yang mempraktikkan penggunaan Bahasa Melayu Tinggi, BMT. Mana tahu satu hari nanti nanti Diari Mat Kilang aku yang lebih kepada praktikal ilmu kejuruteraan akan diterbitkan. Whoa!

Thursday, February 9, 2012

Diari Mat Kilang


“Aku ialah mat kilang. Aku punya impian sebanyak kepulan-kepulan awan di langit biru. Aku mahu terbang ke awan itu dan mencapai impian ke luar negara. Bukan melancong atau menghantar sebarang bungkusan tetapi menuntut ilmu. Rambo sepertiku ini juga punya impian setinggi itu!. Kata orang, Gantunglah impianmu setinggi langit.”

Wan Mohd Mushris bin Wan Embong atau Rambo adalah seorang Mat Kilang yang bekerja sebagai juruteknik. Buku log dijadikan diari untuknya mencatat peristiwa-peristiwa yang berlaku.

Aku tidak pasti sama ada ini adalah sebuah diari sebenar yang diterbitkan oleh PTS ataupun ia sekadar hasil karangan seorang penulis buku. Tapi yang pasti ia adalah luahan hati seorang lelaki yang bujang dan sudah bekerja.

Rupa-rupanya hidup ini semakin lama semakin sukar..

Tajuk: Diari Mat Kilang
Tebal: 160 mukasurat
Penulis: Ahmad Fairuz Daud
Harga: RM8.90
Kedai: Badan Cemerlang Angsana JB
Penerbit: PTS One

Friday, December 23, 2011

Negaraku [CERAPAN{1}]

Gambar yang langsung tidak ada kaitan dengan Cerapan

“Pemimpin Negara yang baik adalah yang mula-mula sekali menderita jika rakyatnya susah. Dan jika rakyatnya menikmati kesenangan, dialah yang terakhir sekali menikmatinya”.
Lelaki berjanggut dan berjubah putih itu mematikan butir bicara sambil menyarung kembali pedangnya yang berada di leher seorang Pemimpin Negara.

Dengan terketar-ketar, pemimpin itu bertanya “siapa kau? Kau pengganas dari kumpulan mana? Aku sanggup bayar kau berapa sahaja asalkan kau tidak ganggu aku lagi. kalau kau mahu kapal selam atau jet pejuang negara aku, aku sanggup berikan.”

Lelaki berjanggut dan berjubah putih itu tersengih dan membalas “Aku Faruq. Aku tidak perlukan semua itu kerana Allah bersama dengan golongan yang benar.”

“Mustahil! Zaman sekarang duit dan kuasa adalah segala-galanya. Kalau tidak, masakan negara-negara asia timur dibantai oleh polis dunia!”

“Kau silap wahai pemimpin buta! Satu hari nanti kau akan lihat betapa pertolongan Allah itu melebihi kuasa kuffar” lelaki berjanggut dan berjubah itu berjalan meninggalkan Pemimpin Negara yang dalam kebingungan.

“hei! Tunggu! Tungguuuu..”

Pemimpin Negara membuka mata. Titik peluh sejuk memenuhi dahi. Suhu dalam bilik itu agak sejuk ditiup penghawa dingin. Jam dinding ukiran kayu jati menunjukkan tepat pukul 2 subuh. Isterinya yang tadi nyenyak tidur bingkas bangun meladeni suaminya dan mengesat peluh di dahi. Sungguh dia isteri yang sangat sayangkan suami.

“mimpi yang sama lagi ke bang?”
Pemimpin Negara itu tidak menjawab. Dia meneguk air kosong yang disediakan di tepi katil.
“tak apa lah bang.. abang sambung tidur la. Esok kan ada sidang parlimen. Mah pun ada perjumpaan dengan isteri-isteri menteri esok.”

*****

Pemimpin Negara menggigil dalam tidurnya. Kepalanya diletakkan di atas lantai mosaic. Lengannya diapit oleh kedua kakinya. Kerana tidak tahan dengan kesejukan, dia membuka mata perlahan-lahan. Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati dirinya berada di atas lantai sebuah bangunan yang banyak buku.

Dia bingkas bangun dan berlari ke luar bangunan tersebut. Di hadapan bangunan itu terpacak tiga tiang bendera yang mengibarkan bendera Malaysia, bendera Negeri Perak dan satu lagi bendera yang tidak dikenalinya. Dalam lelah, dia membaca tanda ‘Bangunan Suluh Budiman’ di hadapan bangunan tersebut. Dia semakin bingung..

Tidak jauh dari tempat Pemimpin Negara berdiri, dia melihat ramai orang sedang berkumpul. Dalam ratusan pemuda yang pada hemat Pemimpin Negara adalah mahasiswa, mereka membawa pelbagai sepanduk dan papan tanda. Antara slogan yang diucapkan adalah seperti ‘Terima Kasih Pak Jib’, ‘Pemimpin berwibawa, wawasan tercapai hari ini’, dan banyak lagi slogan seolah-olah sedang meraikan pemimpin hebat bernama Najib yang berjaya membawa Malaysia menjadi sebuah negara maju pada hari tersebut.

“2020? Najib? Eh, itu kan.. tapi kenapa..?.”

Belum sempat Pemimpin Negara mendekati kumpulan manusia tersebut, tiba-tiba sebuah kereta putih yang mempunyai logo Proton meluncur laju di hadapannya. Hampir-hampir saja dia dilanggar kerana kereta tersebut tidak mengeluarkan bunyi enjin yang kuat. Melalui perbualan beberapa orang di situ, dia mendapat tahu bahawa itu adalah model terbaru kereta Proton berkuasa elektrik. Dihasilkan sepenuhnya oleh anak Malaysia.

Dari kereta putih itu, turun sepasang suami isteri yang diiringi dengan sorakan semua mahasiswa yang hadir. Keduanya mengenakan pakaian serba hijau dengan corak bunga raya. Baju melayu lelaki yang turun dari kereta itu dipadankan dengan songkok hitam dan sampin. Manakala isterinya mengenakan tudung jenis labuh berwarna hitam sebagai pelengkap untuk menutup aurat.

Dada Pemimpin Negara berdebar. Apakah betul apa yang dilihatnya? Adakah ini pelanduk dua serupa? Seorang lelaki yang segak menjemput pasangan suami isteri itu dan Pemimpin Negara sangat mengenali susuk tubuh itu. Itulah mahasiswa yang paling dibencinya pada masa ini. Masakan mahasiswa itu berani menurunkan benderanya di PWTC pada perhimpunan agung baru-baru ini. Melalui pengumuman si pengacara majlis, dia mendapati bahawa pemuda itu merupakan menteri pendidikan.

Pemimpin negara cuba mampir dengan kelompok manusia itu. Tapi kakinya terasa berat. Pendangannya kabur. Pemimpin Negara menggila. Dia menjerit sekuat hati. Tapi tiada siapa yang mempedulikannya. Dia memaksa kudratnya untuk berjalan ke arah kelompok manusia itu. Hingga di satu tempat, dia berhenti mengumpul nafas. Dalam cungap matanya berpinar dan dunia menjadi kelam..

*****

“Tidak salah sama sekali untuk kita mencari harta kekayaan serta pangkat dan darjat. Tetapi ia tidak boleh dilakukan kerana mengikut sifat tamak haloba dalam diri, sehingga tidak mahu memberi peluang kepada orang lain melebihi mereka. Apabila sifat tamak menguasai diri, mereka akan melakukan apa sahaja untuk memenuhi kehendak diri yang tidak pernah habis”{2}
Pemimpin Negara membuka mata perlahan-lahan. Dunia masih kelihatan kabur apabila dia sedar dan dia sedang duduk di atas kerusi plastik bersama dengan ratusan pemuda yang sedang asyik mendengar. Mahasiswa barangkali..

“Pak cik, nak air mineral atau gula-gula?” seorang pemuda berkopiah putih berbaju kemeja merun menyapanya. Di dada sebelah kiri baju pemuda itu tertulis PMIUTM. Dia sangat kenal dengan singkatan itu. Persatuan yang dikira sebagai agen pembuka mata kepada semua mahasiswa yang Pemimpin Negara cuba butakan dengan hedonisme. Lidahnya kelu tidak mampu berkata apa-apa.

“Saya AJK makanan untuk program motivasi anak muda ini. insyaAllah air ini akan membantu pak cik hilangkan kantuk.” Kata pemuda berkopiah putih itu sambil tersenyum dan meletakkan sebotol air mineral di telapak tangan Pemimpin Negara.

“Para pemuda dan pemudi sekalian, jika kita menoleh lapan tahun ke belakang, kita dapat lihat bagaimana dua entiti besar politik tanah air telah bersatu dan menjadi sebuah pakatan yang benar-benar menjaga kebajikan rakyat di bawah slogan negara berkebajikan.” Panel forum yang kelihatan sangat tua itu berhenti seketika untuk meneguk air. Dia membetulkan serban putihnya lalu menyambung.

“Saya sudah tua. Selaku penasihat sebuah parti Islam, saya menyeru kepada Ar-Rijal semua untuk menimba sebanyak mungkin juntaian hikmah di ladang ilmu ini. Sesungguhnya pemuda hari ini adalah pemimpin hari esok. Sekarang, sahabat baik saya Pak Jib sedang mengadakan lawatan di IPT seluruh Perak walaupun beliau sangat sibuk dengan kerenah pertukaran status negara maju. Kerana kami sedar betapa besarnya peranan anak muda hari ini dalam membangunkan negara kelak.”

Suasana menjadi sangat sunyi apabila penceramah berhenti bercakap untuk mengumpul nafas. Semua hadirin tekun mendengar. Kebanyakannya sedang mencatat.

“Kita semua mesti ingat bahawa arah tujuan kita tidak boleh berubah. Kesediaan Perdana Menteri kita untuk menerima sistem pemerintahan Islam adalah faktor utama kepada penyatuan ini…”

Pemimpin Negara semakin bingung. Dia juga sangat kenal dengan susuk tubuh yang berada di atas pentas itu. Jubah putih, serban putih tidak pernah berubah walaupun wajahnya kelihatan lebih tua dari biasa. Kepalanya terasa sangat berat. Perasaan bercampur baur antara sedih, terkejut, marah, bingung dan takut. Air mineral di tangannya sudah habis diminum. Serasa Pemimpin Negara ingin menjerit sekuat hati. Tidak percaya dengan apa yang sedang dilihatnya..

“Tidaaakk!!..”

Pemimpin Negara membuka mata. Titik peluh sejuk memenuhi dahi. Suhu dalam bilik itu masih sejuk ditiup penghawa dingin. Jam dinding ukiran kayu jati menunjukkan tepat pukul 5 subuh. Isterinya yang tadi nyenyak tidur bingkas bangun meladeni suaminya dan mengesat peluh di dahi. Sungguh dia isteri yang sangat sayangkan suami.

“mimpi yang sama lagi ke bang?”
Pemimpin Negara tertunduk. Dia meneguk air kosong yang disediakan di tepi katil.
“Tak! Yang ini lain..”

Dia mencapai gagang telefon dan menekan punat satu.

“Ya tuan.. ada apa yang boleh saya bantu?” pembantunya menjawab dengan pantas.
“Err.. awal pagi esok saya nak jumpa imam Masjid Putra untuk berbincang sesuatu. Awak tolong aturkan itu dan juga buat persiapan untuk saya ke sana sekarang.” Arahan jelas diberikan.

“Abang nak ke Putrajaya? Sekarang? Nak buat apa?.” Mak Mah mengesat matanya yang masih belum terbuka sepenuhnya.

“Nak solat Subuh!.”

Mak Mah turun dari katil. Ingatannya kembali kepada peristiwa istimewa yang dialaminya semasa menunaikan haji bersama suami baru-baru ini. Entah kenapa pada masa itu hatinya tergerak untuk membeli sehelai telekung biasa berwarna putih dengan harga hanya sepuluh dirham. Telekung itu masih tersimpan rapi di almari pakaiannya. Adakah ini masanya?..

“Abang! Tunggu.. Mah nak ikut..!”

“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan Yang keji dan mungkar serta kezaliman. ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.” [16:90]


{1} CERAPAN = Cerpen Agak Panjang
{2} Tundukkan hati, ms 75

Saturday, December 17, 2011

Budak Surau


Ustaz kata, ‘Kita jangan biarkan diri sendiri sahaja menjadi baik. Orang yang baik, perlu mengajak orang lain turut sama menjadi baik.

Budak surau biasanya dikaitkan dengan orang yang selalu solat berjemaah si surau. Sering terlibat dengan aktiviti-aktiviti surau dan sebagainya. Istilah ini banyak digunakan dalam novel ini yang menunjukkan kesungguhan Aiman, seorang anak yatim yang mewarisi surau ayahnya - untuk menarik kawan-kawannya bersembahyang bersama-sama di suraunya.

Bagaimana Aiman mengajak kawan-kawannya untuk datang ke surau? Apakah strategi yang dilaksanakan oleh Aiman? Dan bagaimanakan Budak Surau ini mampu menjadi Ustaz Budak?*. Nikmati buku ini beserta dengan tisu…

Novel ini merupakan karya kedua Hafizul Hilmi selepas Si Blogger Kampung. Perasaan semasa membaca buku karangan sahabat sendiri sangat berlainan berbanding karangan orang lain walaupun jalan cerita novel ini tidak berkaitan dengan kami. Whoa!

* Ustaz Budak adalah gelaran yang diberikan oleh seorang ustaz yang berasal dari Kelantan yang terkenal dengan ceramah beliau pada usia muda. Malah beliau mendapat pendidikan pondok sejak dari kecil. (Kalau salah tolong betulkan).

Tajuk: Budak Surau
Tebal: 221 Mukasurat
Penulis: Hafizul Hilmi
Harga: RM14.50
Kedai: Hafizul Hilmi
Penerbit: PTS Professional

Friday, December 9, 2011

Lagenda Mat KIlang #Rokok

Awas! jangan tiru aksi ini tanpa pengawasan orang dewasa.

Suasana dalam kilang pada hari ini agak tenang. Lebih tenang dari biasa. Tiada bunyi turbine dan generator. Tiada bunyi pembakaran. Tiada bunyi kipas boiler, tiada bunyi motor pam. Hanya bunyi kipas besi dalam bengkel sahaja yang memenuhi ruang dan sesekali bunyi orang menghirup air panas 3 in 1. Memang menjadi jadual, kilang kami akan berhenti dari beroperasi pada setiap awal bulan untuk menjalani penyelenggaraan bulanan terutama sekali pada bahagian boiler.

Foreman meraba kocek bajunya lalu mengeluarkan mancis dan sebungkus rokok dan menyalakan sebatang. Aku hanya perhatikan perbuatannya sambil mendengar dengan tekun dia bercerita tentang pengalamannya sebagai seorang welder. Sesekali aku gerakkan badanku sedikit ke kiri dan kanan untuk mengelak asap rokoknya daripada terkena baju aku. Sememangnya aku lebih senang dengan baju berbau sludge daripada bau rokok.


“nah cip.. Preminum!” pelawa foreman sambil menghulurkan bungkusan rokok premiumnya.

“uishh..hahaha..macam kau tidak tahu pulak. Kalau kau bagi aku choki-choki, baru aku akan ambil” aku menolak dengan gurauan. Sungguh orang bengkel semuanya suka bergurau dan suka membahankan orang lain.

“aduuuh cip.. choli-choki apa barang. Ni ha! Dalam bengkel ni cip sendiri saja yang tidak hisap ni barang oo..” balas Foreman sambil menghentak perlahan bungkusan rokoknya. Marcus, Fitter kumpulan X yang biasanya paling bising dalam bengkel hanya memandang rokok pelawaan itu dengan penuh selera. Mungkin dia lupa lagi membeli rokok pagi tadi.

“aku bukan apa.. aku memang tidak tahan dengan asap dan habuk. Sedangkan masuk furnace pun aku mesti pakai google dan dusk mask. Inikan lagi asap rokok. Kalau kamu ni, lain cerita la. Peparu kamu kan dibuat dari stainless steel 321. Ni ha.. dia ada tulis di kotak ni, rokok mengandungi 12mg tar untuk satu kotak.” Aku memberi penjelasan dengan penuh semangat.

Semua mata memandang. Khali seketika. Kipas besi meniup deras membawa asap rokok ke sudut lain bengkel dan menghilang.

“kalau kamu hisap satu kotak sehari, maknanya kamu akan masukkan tar ke dalam peparu kamu sebanyak 144 miligram sehari. 4.32 gram sebulan. 51.84 gram setahun. Katakan kamu hisap rokok sampai tua atau selama 40 tahun, kamu akan simpan tar dalam peparu kamu sebanyak 2.0736 kilogram TAR!” aku matikan ayat sambil menghirup air 3 in 1 yang sudah suam.


“waaa… mantap kau cip! Aku setuju itu! Baik cip jangan hisap la..” Marcus yang sejak dari tadi mendiamkan diri tiba-tiba bersuara sambil tangannya dengan perlahan mencapai bungkusan rokok di hadapan aku. Foreman menjeling. Dia menyeringai menampakkan giginya yang hampir tersusun rapi.

“amboi!” foreman menyergah.

“alaa.. ini barang free ma.. you kasi sama dia, dia tidak mahu maa.. jadi saya ambil la.. nanti ada pulak orang yang kecil hati.” Marcus menjawab selamba dengan mengajuk cara pertuturan Manager Kilang.

Kemudian dia menyambung, “kau jangan risau la.. dulu engineer kita di sini Mr. Tan dengan Mr. Gan pun macam ni. Paling semangat membangkitkan kesedaran tentang bahaya rokok. Tapi akhirnya diorang pun merokok. Rokok yang mahal lagi!” Marcus menghela nafas puas. Puas dengan apa yang baru dikatakan dan puas dengan apa yang baru dinyalakan.

Aku tidak tahu mahu kata apa lagi. pengaruh rokok sangat kuat di sini. Tapi ada satu hujah yang paling kuat belum aku keluarkan. Merokok itu HARAM. Pegangan ini yang membezakan aku dengan jurutera sebelum ini. Tapi setakat ni, ia belum sesuai lagi untuk dihujahkan kepada mereka. Mungkin satu hari nanti…

“Agak-agak, kalau kita semua merokok dalam furnace atau superheater, bos boleh nampak ka asap rokok kita melalui chimney?” Marcus masih tidak mahu berhenti bercakap.

Semua orang memandangnya. Sakit otak berfikir dan serentak menjerit, “GILA!”
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Ir Kamsar Ibn Bahron At-Tawawi

gambarpenulis KAMSAR BIN MUHAMAD BAHRON

Aku orang biasa.

Buat benda biasa.

Blog aku biasa-biasa.

Aku suka menulis tentang benda biasa.

Tapi aku akan jadi Lagenda!.

bah bah bah

Pra-Sekolah - Tiada

Sekolah Rendah Kebangsaan

Sekolah Menengah Kebangsaan - Sains Tulen

Kolej Matrikulasi - Sains Fizikal

Universiti - Kejuruteraan Mekanikal

KILANG - Geng Maintenance

PROFILKU ^_^

AHLAN WA SAHLAN


thelegend88


kepala otak kau!


thelegend88


thelegend88


ada soalan? ~i'm always by your side!!

"SUDUT KRITIK"

SUDUT INI MEMBERI PELUANG KEPADA PENGUNJUNG UNTUK MENGKRITIK BLOG INI SESUKA HATI MEREKA.. KALAU NAK YANG LEN, BAGI KAT BAWAH..

TIDAK BOLEH :

-BERKATA KESAT

-MEMUJI

-MENUDUH MENGKHINZIR BUTA

-MENGIKLAN

MENGAJARKAN ILMU ITU SEDEKAH

Kaunter Pukul

MUST SEE

Blog Unik

Kawan-kawan UTM

Rakan-rakan Lain

TAK RUGI BUKAK..

MESTI TENGOK!

thelegend88
thelegend88
thelegend88
thelegend88
thelegend88
thelegend88

Followers

Template by KangNoval & Abdul Munir | blog Blogger Templates
HTML Free Code