Showing posts with label Buku. Show all posts
Showing posts with label Buku. Show all posts

Wednesday, February 18, 2015

Brader Mellow Godforsaken Land dan Cerita-cerita Mat Kilang


Kitaran hidup seharian mat-mat kilang hampir sama sahaja tidak kira dia kerja di kilang besar atau kilang kecil. Sama ada yang berchimney satu atau lebih dari itu.

Sering kali terduduk penat selepas berhadapan dengan situasi luar jangka. Sering membandingkan kadar gaji dengan kilang lain. Mengutuk bos. Dan bercerita tentang rakan sekerja yang pelbagai ragam.

Buku ini ditulis oleh salah seorang daripada beribu mat kilang di Malaysia. Bezanya dia ini adalah seorang yang suka membaca buku berat dan berani menulis. Menulis tentang apa sahaja yang dia pelajari dari guru kehidupan dan dirasakan perlu untuk dikongsi dengan orang lain. Jadi, selamat membaca!

*Antara perkara menarik yang orang non-mat kilang boleh perhatikan (kalau berpeluang) adalah semasa kilang menghadapi masalah besar. Anda akan nampak satu situasi seperti dalam perang. Semua orang akan sibuk dan bergerak dengan pantas termasuk yang sedang mamai dan berperut besar.

[Sedutan buku]
Setiap kali loji membuat hal, antara perkataan yang biasa diucapkan adalah:
Jurutera pakar DRI ‘India mari’: “Sh*t!! Sh*t! Sh*t! Fu*k! Okay, okay nevermind. Leave it as it is. I’ll go for food.
Aku, “What the F?!! Holy mother of God we’re all gonna dieee! Argh! I’m too likeable to die, argh!!”
Brader Senior Engineer dari Pantai Timur, “Menatang bodo ni!”
Pakar Furnace teknologi midrex dari venezuela, “Kammu Chantik. Akku chinta paddamu. My malay correct?”

Tajuk: Brader Mellow Godforsaken Land dan Cerita-cerita Mat Kilang
Tebal: 96 mukasurat
Penulis: Stam Mustapha
Harga: RM15.00
Kedai: Lorongbuku.com
Penerbit: Studio Anai-anai
...

Wednesday, December 10, 2014

La Adri


Bercakap tentang ilmu, ia adalah suatu cabang yang sangat luas. Seluas alam yang terbentang yang terbina dari satu jasad hingga terbina cakerawala yang bila mana orang berilmu mengkaji tentangnya terasa diri ini terlalu kecil untuk mengaku PANDAI.

Malah LA ADRI itu sendiri adalah salah satu dari bahagian ilmu. AKU TIDAK TAHU.

Buku ini adalah kompilasi tulisan Saudara Zahiruddin Zabidi. Seorang pemuda yang bercita-cita menjadi seorang pemikir. Whoa!

“Ilmu itu ada tiga bahagian: Kitab yang berbicara, sunah yang berdiri tegak dan LA ADRI (aku tidak tahu)”. Hadis direkodkan oleh Abu Daud dan Ibnu Majah daripada Abdullah bi Umar, Hadis Marfu’.

Tajuk: La Adri
Tebal: 122 mukasurat
Penulis: Zahiruddin Zabidi
Harga: RM17.00 – 4%
Kedai: Lorongbuku.com
Penerbit: DuBook Press
...

Tuesday, November 11, 2014

Cinta Sang Ratu


Kesinambungan dari siri pertama novel Bagaikan Puteri, Haryani dan Saifuddin terpisah dengan jarak yang sangat jauh. Zaman sekarang dan masa lalu pada penghujung abad ke-15. Dalam kesedihan merindui pahlawan yang sudah lama pergi, Haryani cuba meneruskan hidupnya walaupun perit.

Berbeza pula dengan Saifuddin. Dia meneruskan perjuangan menentang Taghut yang tiada penghujungnya. Tatkala dia mempertahankan Tanah Rencong yang diserang oleh pengamal sihir pimpinan Sang Ratu, ada hikmah yang bakal terungkai di antara dua makhluk yang bernama insan ini. “Sebagai manusia.. aku sayang padamu..” Whoa!

Tajuk: Cinta Sang Ratu
Tebal: 554 mukasurat
Penulis: Ramlee Awang Murshid
Buku Lain: Bagaikan Puteri
Harga: RM22.90
Kedai: Gua pinjam sajaaaa...
Penerbit: Alaf 21
...

Wednesday, November 5, 2014

Bagaikan Puteri


Dua jasad. Dua zaman. Tragedi yang berlaku pasti ada hikmah yang diatur oleh sang pencipta. Seorang gadis abad ke-21 ditakdirkan bertemu dengan seorang laksamana pada abad ke-15 melalui kejadian yang tidak dapat dijelaskan dengan kata-kata.

Ini cerita epik thriller. Ini cerita sejarah yang tidak disampaikan kepada kita. Sejarah seorang pahlawan yang berjuang menentang kejahatan alam nyata dan alam ghaib. Namun dia juga seorang lelaki biasa yang punya perasaan. Cuma bezanya iman yang kukuh menjadi benteng untuknya terus istiqamah dalam perjuangan walau diuji dengan penyakit hati paling bahaya. Cinta fitrah. Whoa!

Tajuk: Bagaikan Puteri
Tebal: 578 mukasurat
Penulis: Ramlee Awang Murshid
Harga: RM22.90
Kedai: Gua pinjam sajaaaa...
Penerbit: Alaf 21
...

Tuesday, September 2, 2014

Tandoori Nan Sekeping


Ini buku antologi cerpen. Memuatkan sepuluh cerpen berperisa tandoori dan roti yang ditulis oleh penulis yang berbeza corak penulisan.

Ini bukan cerita mamak dan kari semata-mata. Ini cerita cinta di kedai mamak. Ini cerita pengembaraan masa menyelamatkan manusia zaman Teh Tarik berharga 11 ringgit bersama pemuda dari zaman Mi Goreng berharga 4 ringgit dengan mengubah sejarah pada masa Teh Ais berharga 80 sen. Ini cerita zombi yang dahagakan kari. Ini cerita konflik antara Haji Mad Siad dengan Ahmadi Ahsan pemilik restoran Ayah-tulah yang dituduh menyebarkan ajaran Syishah. Cukup. Aku mahu makan Roti Bom dahulu. Kbai...

Tajuk: Tandoori Nan Sekeping
Tebal: 170 mukasurat
Penulis: Shaz Johar, Shafiq Said, Ikhwan Abu Bakar, Hatta Midy, Nazrul Izzuan, Fasyali Fadzly, Nuruddin Abu Bakar, Mohd Azmen, Nami Cobb Nobbler (Buku Lain: Dendam Anak Jagoan, Rokok Nan Sebatang) & Adib Shahreen
Editor: Ridhwan Saidi
Harga: RM20.00 – 20.6%
Kedai: Lejenpress.com
Penerbit: Moka Mocha Ink
...

Sunday, August 24, 2014

Dendam Anak Jagoan


Ingat Jusoh Turbo? Campien Sungai Kolek dengan kereta turbonya. Itu cerita lama. Dia sudah jadi lejen. Tapi lejen dengan pengakhiran cerita yang tidak berapa gembira. Ini cerita lima belas tahun kemudian. Cerita si budak yang ditakdirkan bertemu seteru lama, Joe Stereng.

Ini cerita dua generasi campien. Remix Jusoh Turbo oleh dua penulis, Aisa Linglung lejen dan Nami Cob Nobler yang buat aku rasa nak tumbuk orang lepas baca novelnya.

Vrooooom pecis Vrooooom pecis masih ada.. jangan risau.

Biasanya aku tidak komen desain kulit buku. Tapi buku ini lain sedikit sebab masa aku pergi sambung lesen, akak kaunter JPJ tegur buku yang aku bimbit. Seram katanya. Masa kau makan Nasi Ayam Lalap di HillTop, adik-adik pelayan selalu lalu lalang dekat tempat aku makan semata-mata mahu melihat buku yang aku letak di atas meja. Memang power!.

“Sahabat bukan sekadar soal siapa yang mampu menggembirakan, tapi siapa yang mampu bersama kamu hingga saat akhir.” –Mak Jah

Tajuk: Dendam Anak Jagoan
Tebal: 227 mukasurat
Penulis: Aisa Linglung (Buku Lain: Dabel Date, Ketakutan, Sengih Kerang, Jusoh Turbo)
Penulis: Nami Cob Nobbler (Buku Lain: Rokok Nan Sebatang)
Harga: RM17.90 – 20.6%
Kedai: Lejenpress.com
Penerbit: Lejen Press
...

Wednesday, May 28, 2014

Tuhan


Dari novel prequel-nya Murtad, Adam dan akhil kembali ke negeri asal mereka di utara tanah air selepas merebaknya wabak zombi di bandaraya. (Haa?!)

Tidak lama kemudian, salah seorang athies melayu yang mereka telah bunuh, Johari datang ke rumah mereka mambawa kurier.

Dalam keadaan dunia yang menghampiri kemusnahan, Johari yang telah ditembak oleh pembunuh orang murtad telah diselamatkan seseorang bersama Sarah.

Ratusan tahun berlalu, Johari tersedar di sebuah planet yang jauh dari bumi di kalangan ribuan manusia yang seiras dengannya. Sebuah dunia rekaan manusia. Yang semakin jauh dari Tuhan dan ada yang ingin menjadi Tuhan. Johari, dia masih perlukan Tuhan!.

Jerkah Johari di pusara ibu dan ayahnya masih lagi segar melintasi fikirannya. Pak Lebai memaut tangannya tatkala dia cuba menggali kembali tanah yang dikambus lelaki berseluar senteng. Bergelut Johari menghambur maki ke Imam. Ke jiran di sisi dan juga rakan yang tidak tahu betapa pertinya dia rasakan pada ketika itu. Johari mencabar Tuhannya. Kekalkan dia hidup biar seratus tahun kalau benar Tuhan itu ada. Kalau benar Tuhan itu wujud bagi menunjukkan kekuasaan-Nya.

Tajuk: Tuhan
Tebal: 299 mukasurat
Penulis: Hasrul Rizwan
Harga: RM18.90 – 20.6%
Kedai: Lejenpress.com
Penerbit: FIXI
Buku Lain: Murtad
...

Wednesday, May 14, 2014

Jusoh Turbo


Jusoh Turbo. Siapa tidak kenal dia. Dulu dia la cempien. Setakat Sungai Kolek, dia lejen. Tidak ramai yang berani lawan lumba, selekoh, tarik handbrake, drop dear dengan turbonya.

Tapi kini dia terbaring di atas katil. Ditemani Yana Samsudin yang setia menanti.

Ini adalah buku comel Tauke Lejenpress. Baca di petang hujung minggu, hanya beberapa kali golek sudah habis baca. Tapi rasa kelajuan itu tetap ada. Vrooooomm Pecis! Vrooooomm Pecis!..

“Engko kena make sure kereta turbo tu siap repair petang ni. Dah masuk 2 hari mak tak meniaga ni Jalil. Kalo masuk 3 hari macam ni, memang esok engko makan selipar la gamaknya..” Leter Mak Jah sambil memperbetulkan silanya.

Tajuk: Jusoh Turbo
Tebal: 86 mukasurat (Apa kes buku tak letak muka surat? Letih aku kira)
Penulis: Aisa Linglung
Harga: RM10.90 – 20.6%
Kedai: Lejenpress.com
Penerbit: Lejen Press
Buku Lain: Sengih Kerang, Dabel Date, Ketakutan
...

Friday, May 2, 2014

Masa Depan Masa Kita!


Masa depan yang penulis tekankan di sini adalah masa hadapan negara beberapa tahun mendatang terutama sekali wawasan 2020 dan hampir dua dekad dari sekarang, 2030.

Masa kita. Kita dalam tajuk buku ini merujuk kepada masyarakat yang diwakili oleh saudari penulis sendiri iaitu rakyat Lembah Pantai, Golongan wanita dan semestinya golongan yang bakal mewarisi negara ini pada masa hadapan, Golongan Pemuda.

Buku ini adalah kompilasi artikel Saudari Nurul Izzah dalam Sinar Harian. Jadi, tajuk dan isi artikel beliau adalah berdasarkan kepada isu semasa dan yang penting sarat dengan data dan maklumat terkini yang menjadikan artikel beliau ‘berisi’.

Namun ada juga beberapa perenggan yang mengupas suatu isu tanpa memberikan sumber rujukan dan penulis mungkin beranggapan bahawa semua pembaca sudah maklum mengenai isu tersebut. Harus diingat, yang membaca artikel/buku beliau bukan hanya golongan penyokong sahaja. Mungkin Dato’ PM pun membacanya.. siapa tahu?

“Golongan 20% terkaya di Malaysia memiliki 50% pendapatan dan nilai ekonomi yang dijana, sedangkan golongan 40% termiskin yang amjoriti masih Melayu pula hanya berkongsi 14% daripada kek ekonomi di negara ini”
~Ini fakta yang sangat menakutkan saya. Tapi tidak tahu dari mana sumbernya. Ahhai..

Tajuk: Masa Depan Masa Kita!
Tebal: 186 mukasurat
Penulis: Nurul Izzah Anwar
Harga: RM15.90
Kedai: Popular. Centre Point, Kota Kinabalu
Penerbit: KarangKraf
...

Monday, April 28, 2014

Prequel Breakfast Blues; Monolog Seorang Lelaki


Aku picit ubat gigi yang hampir penyek untuk keluarkan isinya. Berkali-kali. Namun tak keluar. Tersumbat agaknya. Picit buat kali terakhir. Nyet! Terpancut dan masuk tepat ke dalam lubang hidung. Cheh! Heh. Aku ada alasan untuk cuti sakit hari ni. Ha ha!

Ini adalah prequel kepada novel Breakfast Blues (Aku belum pernah jumpa). Tapi tidak mengapa sebab cerita di dalamnya adalah kontot belaka. Tidak perlu kesinambungan. Hanya baca satu-persatu monolog abam Selamat Said dan anda akan tersenyum!.

Kata orang, setiap apa yang berlaku ada hikmahnya. Lalu penulis buku ini menceritakan perkara yang berlaku terhadap dirinya walau seremeh manapun ia. Tapi bagi pembaca, ia adalah kejadian yang menghiburkan dan kadang-kadang pernah berlaku terhadap diri sendiri. Whoa!

Tajuk: Prequel Breakfast Blues; Monolog Seorang Lelaki
Tebal: 180 mukasurat
Penulis: Azzam Supardi
Harga: RM20.00 – 20.6%
Kedai: Lejenpress.com
Penerbit: Dubook Ceritera
Buku Lain: Monolog Seorang Lelaki
...

Wednesday, April 16, 2014

Desaturasi Merah Jambu


Desaturasi/desaturation. Proses penepuan warna yang mengalami tindak balas kimia lalu merubah sifat daripada jelas ke pudar dan hitam gelap.

Ini buku perempuan. Ditulis oleh seorang perempuan, isteri, anak dan ibu yang aku tidak kenal. Dimuatkan dengan beberapa isi cerita yang bermakna kepada penulis bermula peranannya sebagai seorang anak perempuan yang aktif dan penuh tanda tanya sehingga menjadi seorang isteri dan ibu.

Sejujurnya, segan juga aku baca buku merah jambu-putih ini di hadapan orang. Jadi aku habiskan baca buku ini di dalam rumah bersendirian. Untuk cuba memahami isi hati salah seorang perempuan di dunia ini dalam bentuk tulisan walaupun kata orang, ilmu memahami prempuan ni lebih susah dari belajar terbang. Kata orang lah.

Tajuk: Desaturasi Merah Jambu
Tebal: 158 mukasurat
Penulis: Ladynoe Mohamed
Harga: RM20.00 – 15%
Kedai: Lorongbuku.com
Penerbit: Dubook Pink
...

Wednesday, March 19, 2014

Sekolah Bukan Penjara ~ Universiti Bukan Kilang


Sejak beberapa bulan lepas, genre buku yang aku baca mula berubah. Keluar dari gedung ilmu dan terjun ke dalam masyarakat industri perkilangan yang parameternya berpaksi kepada nilai keuntungan wang ringgit dan bekerja untuk mendapatkan balasan berupa gaji benar-benar membuat aku menjadi seorang yang cepat bosan. Buku ini datang bersama buku-buku lain yang aku harapkan boleh membawa aku keluar dari kepompong estet dan terbang bebas ke luar sambil berbaring di dalam rumah. Sendirian. Huuu..

Ini buku serius. Saudara Zul Fikri Zamir berbicara tentang benda-benda serius seputar isu yang berlaku dalam negara kita terutama isu pendidikan. Dan apa yang penting aku mula sedar bahawa diri ini sebenarnya adalah sebuah robot pintar yang dihasilkan dari sebuah kilang yang bernama Universiti. Dan hakikat itu mesti diubah!.

Buku ini sarat dengan fakta, idea dan quote orang-orang hebat dan aku mencadangkan kepada semua pelajar untuk membaca buku ini sebelum anda melangkah keluar dari gedung ilmu masing-masing. Well, it’s either gedung ilmu atau kilang membuat robot.

Cuma pada pendapat aku ada beberapa fakta berupa nombor yang dibentangkan dalam buku ini lebih sesuai disampaikan dalam bentuk jadual dan graf berbanding ditulis dalam bentuk perenggan. Aku tidak pasti bagi pembaca yang datang dari bidang lain tapi sebagai seorang enginair, aku tidak suka. Itu sahaja.

Perkara kedua yang berlingkar dalam fikiran aku tentang buku ini adalah berkenaan dengan olahan bahasa yang penulis gunakan. Aku tidak pasti sama ada gaya bahasanya yang berat atau keupayaan pemahaman bahasa aku yang semakin tumpul sejak kerja kilang. Kalau sebab keupayaan berfikir aku semakin tumpul, maksudnya aku perlu membaca lebih banyak buku lagi. Tapi kalau sebab penulis sengaja menjadikannya begitu, aku takut mesej yang ingin disampaikan kepada target group tidak sampai.

Tajuk: Sekolah Bukan Penjara ~ Universiti Bukan Kilang
Tebal: 210 mukasurat
Penulis: Zul Fikri Zamir
Harga: RM20.00
Kedai: Lorongbuku.com
Penerbit: Dubook Press
...

Sunday, March 16, 2014

Indahnya Cinta


Ibnul Qayyim dalam kitab Al-Fawa’id, ketika menjelaskan tentang firman Allah yang bermaksud “Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintainya.” (Al-Maidah: 54).
Beliau mengatakan, “Tidaklah menghairankan jika Allah mengatakan ‘mereka mencintai-Nya’, kerana yang berbuat baik tentu akan dicintai. Zat yang telah memberimu makan, memberi pakaian, dan menciptakanmu, sudah tentu akan engkau cintai. Tetapi yang mengagumkan adalah firman-Nya, ‘ALLAH MENCINTAI MEREKA’.

Kata orang, cinta itu indah. Begitu indah hingga ada yang membutakan. Buta dari melihat cela yang ada pada cintanya. Itu kata orang. Hingga datang Islam, agama keamanan mengajar manusia saling mencintai. Cinta kepada saudara, keluarga, agama, alam dan paling indah cinta kepada-Nya.

Melalui buku ini, penulis berbicara tentang cinta. Cinta agung kepada Allah dan cinta sesama makhluk. Termasuk cara meraih cinta melalui adab-adab islam, adab ikhtilaf dan sebagainya.

Ps: saya mula baca buku ini sejak dari kampus lagi. Bed time book kata orang putih. Sebelum habis baca, saya sudah habis belajar dan pulang ke kampung. Baru hari ini saya sambung pembacaan dan perasaan ada kelainan sedikit. Hati berbunga-bunga. Whoa!

Tajuk: Indahnya Cinta
Tebal: 302 mukasurat
Penulis: Dr. ‘Aidh Abdullah Al-Qarni
Harga: RM36.00 - 10%
Kedai: Badan Cemerlang, Angsana JB
Penerbit: Al-Hidayah Publications
Buku Lain: Tersenyumlah, Aku, buku dan cinta
...

Friday, March 14, 2014

Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua


Ideologi. Fahaman yang dicipta untuk mengatasi kelemahan sistem yang ada.
Aqidah. Simpulan atau hubungan seorang hamba dengan Allah yang tidak akan terurai dalam apa jua keadaan sekalipun.

Nasionalisma lahir dari kesedaran penduduk setempat untuk menghalau penjajah. Komunisma lahir menentang kapitalisma dan sebagainya. Manakala Leon Trotsky adalah seorang ahli falsafah yang menghidupkan api revolusi di Rusia hingga terbentuknya kesatuan Soviet.

Tapi jangan risau. Tajuk buku ini hanya salah satu tajuk artikel di dalamnya. Secara keseluruhan, buku ini merupakan buku kritik. Kritikan untuk semua orang dari penumpang roket ke angkasa hingga kepada para pemimpin negara yang ingin memelihara kedaulatan bangsanya, keturunan Demang Lebar Daun.

Maka kelam-kabutlah Onn Jaafar pada masa itu, keluar masuk kampung berucap tentang “hubaya, hubaya, bahaya dari gunung”, merujuk pada kebangkitan kesedaran politik umat Islam yang lahir dari Gunung Semanggol. “Mahu buat jarum sebatang pun belum pandai, inikan mahu merdeka”, ejek puak-puak UMNO kepada pejuang kemerdekaan masa itu.

Tajuk: Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua
Tebal: 196 mukasurat
Penulis: Lucius Maximus
Harga: RM23.00 – 15%
Kedai: Lorongbuku.com
Penerbit: Dubook Press
...

Friday, February 21, 2014

Gergasi


1511. Serangan pertama Portugis dalam cubaan untuk menakhluk Melaka telah berjaya dipatahkan. Ia berikutan kemunculan gergasi misteri yang menolong pahlawan Melaka. Namun pada serangan kedua gergasi tersebut tiba-tiba hilang dalam kekalutan peperangan lalu menyebabkan kekalahan Melaka oleh Portugis. Gergasi itu digelar Batara Waja.

2011. Seorang lelaki misteri ditemui di tengah laut.

Kota raya tiba-tiba digemparkan dengan kehadiran gergasi misteri yang menumpaskan dan membunuh satu pasukan penjenayah elit dan orang-orang tertentu... lagenda Batara Waja kembali..

Teori penghasilan gergasi misteri itu merupakan satu idea yang sangat baik untuk menghasilkan adiwira Malaysia sendiri (kalau mahu laa..).

Perang, rentas masa, teleportation, sejarah, jiwang dan persahabatan semuanya ada dalam novel ini diadun dengan sangat sedap untuk seorang jurutera yang tidak berapa berjaya mula berimaginasi terbang tinggi di udara. Whoa!.

Tajuk: Gergasi
Tebal: 320 mukasurat
Penulis: Khairul Nizam Khairani
Harga: RM17.90
Kedai: Lejenpress.com
Penerbit: FIXI
...

Tuesday, February 18, 2014

Peripeteia Tragedi Yunani


Peripeteia; a sudden reversal of fortune or change in circumstances, esp. In reference to frictional narrative.

Aku sendiri pun tidak kenal siapa Nazim Masnawi penulis buku ini. Dari genre penulisan beliau menunjukkan beliau seorang yang sangat menyayangi filem dan pawagam. Bersikap lurus, telus dan pedas dalam memberikan pendapat tentang filem dan dunia perfileman itu sendiri.

Walaupun skop penulisan beliau berkisar di sekitar dunia hiburan (Bagi aku lah), tapi kupasan yang beliau kongsikan nampak begitu luas bermula dari defenasi, sejarah dan kritikan terhadap apa yang berlaku pada zaman sekarang.

Dalam buku nipis ini penulis turut mengupas istilah Punk, nerd, geek, fanboy dan lain-lain istilah yang banyak digunakan oleh anak muda sekarang tanpa mengetahui makna sebenarnya. Pengaruh iklim politik di Amerika terhadap filem Hollywood pun ada!.

Tajuk: Peripeteia Tragedi Yunani
Tebal: 88 mukasurat
Penulis: Nazim Masnawi
Harga: RM18.00 - 15%
Kedai: Lorongbuku.com
Penerbit: Studio Anai-anai
...

Wednesday, January 22, 2014

Gocoh


Gocoh, istilah untuk pergaduhan yang melibatkan fizikal je. Lebih tepat lagi pergaduhan tumbuk menumbuk. (Mohd Hafizul Hilmi, 2014)

Sebuah kampung pedalaman menyimpan kisah kehidupan masyarakat yang tersendiri. Di sana, penduduknya berpegang kuat kepada ajaran agama Islam. Tapi membezakan tempat solat antara Balaisah Wan Ghani dengan balaisah Biru. Menjaga kehormatan agama dari dinodai orang kafir tapi hidup berpuak antara kopiah dan songkok. Antara bendera hijau dan biru. Masing-masing melihatnya sebagai jihad dan ada yang sanggup bertindak ekstrim berpandukan Itiqad sendiri.

Jali mula terbuka mata setelah berkenalan dengan seorang penulis berbangsa Cina-Kristian bernama Adrianne. Tapi perkenalan mereka sudah tentu dipandang sinis oleh orang kampung. Konflik bertambah apabila bapa kekasihnya bertukar parti dan mula memakai songkok dan tidak solat di Balaisah Wan Ghani.

Mimpi yang sering dialami oleh jali juga menjadi semakin jelas. Tapi apakah maksud di sebalik mimpi tersebut?.

“Jika di penghujungnya cemar, jangan terjun”

Tajuk: Gocoh
Tebal: 226 mukasurat
Penulis: Wan Shafiq
Harga: RM17.90
Kedai: Lejenpress.com
Penerbit: Lejen Press
...

Wednesday, January 15, 2014

Murtad


Adam dan Akhil, adik beradik kembar yang datang dari kampung di utara tanah air untuk mencuba nasib hidup di kota raya. Mereka adalah anak-anak yang soleh, periang, saling sayang menyayangi, berpelajaran dalam bidang IT dan pelajaran pondok serta tangkas dalam pergaduhan.

Satu pakej yang terlalu baik untuk sekadar bekerja di pejabat. Pengembaraan novel ini bermula apabila mereka mendapat tawaran kerja untuk agama yang menjanjikan gaji yang lumayan. Membunuh orang-orang murtad!.

***

Rokok dicucuh. Akhil menghembuskan asap dan tersenyum mengangguk. “Muka sekoq-sekoq cam nak haram. Hehh.. hehehe samseng kepala bana apa hangpa ni!” sindir Akhil.
Telinga Dinggo mula merah menahan kutukan. Kepalanya diteleng ke arah rakannya di sebelah kiri. Kasman yang memegang kayu berlari menyerang ke arah Akhil yang masih lagi tidak berganjak. Akhil hanya meniup asap rokoknya menunggu lelaki berseluar kotak merapati ke arahnya.
“Hiyahhhh…” Sebatang kayu dihayun ke arah kepala Akhil. Akhil pantas menunduk lalu merembat perut Kasman yang terbuka dengan satu hentakan yang kuat. Terdengar bunyi retakan pada rusuk kasman yang bertubuh jangkung itu sehingga terus terbaring tidak bergerak.
“Siyei.. Jerit ja lebih. Cam haram!”

***

Akhil yang menyedari dirinya diterpa pantas menghayunkan bet besbol mengenai tepat ke kaki lelaki yang menyerangnya dari belakang. Lelaki yang kakinya patah terus terjatuh duduk ke tanah. Kemarahan Akhil tidak terhenti, dia bingkas menyepak muka lelaki itu sehingga bertaburan gigi kapak dan taring di celahan semak samun. Badan lelaki yang gempal tersembam ke tanah. Kaku.

***

Untuk novel aksi, saya memberi lima bintang kepada novel ini. Adegan gaduh yang digambarkan oleh penulis cukup menarik dan sangat jelas untuk digambarkan dalam kepala pembaca. Ada ketikanya pembaca akan membayangkan dirinya sendiri menjadi Adam atau Akhil. Whoa!.

Memandangkan watak utama dalam novel ini adalah orang utara, slanga yang dituturkan dalam dialog juga berbunyi utara. Bagi orang Borneo macam saya, advise rakan-rakan utara amat diperlukan termasuk memahami perkataan kesatnya. Haha..

Tajuk: Murtad
Tebal: 323 mukasurat
Penulis: Hasrul Rizwan
Harga: RM19.90
Kedai: Kinokuniya KLCC
Penerbit: FIXI
...

Monday, January 13, 2014

Nama Ai Alusmitai


Alusmitai. Selepas duapuluhlima tahun aku memanggilnya gula kapas, baru aku tahu ia ada nama yang lebih lembut dari kapas. Kaver buku berwarna merah jambu lembut dan ada alusmitai berwarna merah jambu yang jambu. Memang aku takkan baca buku ni di luar rumah. Whoa!.

Ini adalah buku orang dewasa. Aku lupa, entah Plato, entah Socrates, yang duk kata, “Cinta yang hebat selalunya berakhir dengan kekecewaan.” Dah lama sangat dah aku tak berapa nak percaya dengan cinta. Kalau orang Tanya, cinta itu apa? Aku jawab, entah!.

Tajuk: Nama ai Alusmitai
Tebal: 96 mukasurat
Penulis: Cik Samsuki Sukibari kadarain Indarawiyah, Siti Jasmina Ibrahim, Bihan Zulkifli, Serra Samz, Ingrid Anggriani
Harga: RM20.00-15% (Promosi RM100/6 buku)
Kedai: Lorongbuku.com
Penerbit: Sindiket Sol-Jah
...

Thursday, January 9, 2014

Novel Eksperimental


Ahmad Abdul. Seorang yang sangat rapat dengan nombor tujuh. Bekerja menerima upah sebagai tukang tulis surat cinta. Bermula dengan kehidupan yang aman dan teratur tapi akhirnya menjadi tunggang langgang dan merumitkan pembaca.

Apa hebatnya cerita ini? Ini adalah novel eksperimen. Sepuluh orang penulis menghasilkan sebuah novel dengan mencantumkan bab-bab yang mereka tulis secara berasingan. Dengan harapan tentunya ia layak dipanggil sastera. (Ayat belakang buku).

Semasa membaca novel ini, aku turut mengerah akal berfikir kalau aku menjadi salah seorang penulis novel eksperimen ini, apa agaknya yang aku akan tulis?.

Apa yang pasti, penulis sepertinya berfikir berat untuk menyambung bab yang sebelumnya dan pengakhiran bab yang sangat twisted dan di luar jangkaan.

“Waktu Cuma mengira kita berhenti di destinasi, jadi jangan berhenti di perhentian buruk ini”
-SEFA, terima kasih kerana sudi bagi autograf.

Tajuk: Novel Eksperimental
Tebal: 151 mukasurat
Penulis: Mohd Jayzuan, Sefa, Shima Scarlett, Ayie, Seyn, Sheera Hera, Habibah Alyahya, lang Rahman, Xalleh Razak, Meor Hailree Harga: RM17.00-15% (Promosi RM100/6 buku)
Kedai: Lorongbuku.com
Penerbit: Rabak-Lit
...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Kamsar bin Muhamad Bahron



Aku orang biasa.

Buat benda biasa.

Blog aku biasa-biasa.

Aku suka menulis tentang benda biasa.

Tapi aku akan jadi Lagenda!.

bah bah bah



Pra-Sekolah - Tiada

Sekolah Rendah Kebangsaan

Sekolah Menengah Kebangsaan - Sains Tulen

Kolej Matrikulasi - Sains Fizikal

Universiti - Kejuruteraan Mekanikal

KILANG - Maintenance



AHLAN WA SAHLAN


thelegend88


kepala otak kau!

ada soalan? ~i'm always by your side!!

"SUDUT KRITIK"

SUDUT INI MEMBERI PELUANG KEPADA PENGUNJUNG UNTUK MENGKRITIK BLOG INI SESUKA HATI MEREKA.. KALAU NAK YANG LEN, BAGI KAT BAWAH..

TIDAK BOLEH :

-BERKATA KESAT

-MEMUJI

-MENUDUH MENGKHINZIR BUTA

-MENGIKLAN

MENGAJARKAN ILMU ITU SEDEKAH

Kaunter Pukul

MUST SEE

Blog Unik

Kawan-kawan UTM

Rakan-rakan Lain

Followers

Template by KangNoval & Abdul Munir | blog Blogger Templates
HTML Free Code