Friday, December 23, 2011

Negaraku [CERAPAN{1}]

Gambar yang langsung tidak ada kaitan dengan Cerapan

“Pemimpin Negara yang baik adalah yang mula-mula sekali menderita jika rakyatnya susah. Dan jika rakyatnya menikmati kesenangan, dialah yang terakhir sekali menikmatinya”.
Lelaki berjanggut dan berjubah putih itu mematikan butir bicara sambil menyarung kembali pedangnya yang berada di leher seorang Pemimpin Negara.

Dengan terketar-ketar, pemimpin itu bertanya “siapa kau? Kau pengganas dari kumpulan mana? Aku sanggup bayar kau berapa sahaja asalkan kau tidak ganggu aku lagi. kalau kau mahu kapal selam atau jet pejuang negara aku, aku sanggup berikan.”

Lelaki berjanggut dan berjubah putih itu tersengih dan membalas “Aku Faruq. Aku tidak perlukan semua itu kerana Allah bersama dengan golongan yang benar.”

“Mustahil! Zaman sekarang duit dan kuasa adalah segala-galanya. Kalau tidak, masakan negara-negara asia timur dibantai oleh polis dunia!”

“Kau silap wahai pemimpin buta! Satu hari nanti kau akan lihat betapa pertolongan Allah itu melebihi kuasa kuffar” lelaki berjanggut dan berjubah itu berjalan meninggalkan Pemimpin Negara yang dalam kebingungan.

“hei! Tunggu! Tungguuuu..”

Pemimpin Negara membuka mata. Titik peluh sejuk memenuhi dahi. Suhu dalam bilik itu agak sejuk ditiup penghawa dingin. Jam dinding ukiran kayu jati menunjukkan tepat pukul 2 subuh. Isterinya yang tadi nyenyak tidur bingkas bangun meladeni suaminya dan mengesat peluh di dahi. Sungguh dia isteri yang sangat sayangkan suami.

“mimpi yang sama lagi ke bang?”
Pemimpin Negara itu tidak menjawab. Dia meneguk air kosong yang disediakan di tepi katil.
“tak apa lah bang.. abang sambung tidur la. Esok kan ada sidang parlimen. Mah pun ada perjumpaan dengan isteri-isteri menteri esok.”

*****

Pemimpin Negara menggigil dalam tidurnya. Kepalanya diletakkan di atas lantai mosaic. Lengannya diapit oleh kedua kakinya. Kerana tidak tahan dengan kesejukan, dia membuka mata perlahan-lahan. Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati dirinya berada di atas lantai sebuah bangunan yang banyak buku.

Dia bingkas bangun dan berlari ke luar bangunan tersebut. Di hadapan bangunan itu terpacak tiga tiang bendera yang mengibarkan bendera Malaysia, bendera Negeri Perak dan satu lagi bendera yang tidak dikenalinya. Dalam lelah, dia membaca tanda ‘Bangunan Suluh Budiman’ di hadapan bangunan tersebut. Dia semakin bingung..

Tidak jauh dari tempat Pemimpin Negara berdiri, dia melihat ramai orang sedang berkumpul. Dalam ratusan pemuda yang pada hemat Pemimpin Negara adalah mahasiswa, mereka membawa pelbagai sepanduk dan papan tanda. Antara slogan yang diucapkan adalah seperti ‘Terima Kasih Pak Jib’, ‘Pemimpin berwibawa, wawasan tercapai hari ini’, dan banyak lagi slogan seolah-olah sedang meraikan pemimpin hebat bernama Najib yang berjaya membawa Malaysia menjadi sebuah negara maju pada hari tersebut.

“2020? Najib? Eh, itu kan.. tapi kenapa..?.”

Belum sempat Pemimpin Negara mendekati kumpulan manusia tersebut, tiba-tiba sebuah kereta putih yang mempunyai logo Proton meluncur laju di hadapannya. Hampir-hampir saja dia dilanggar kerana kereta tersebut tidak mengeluarkan bunyi enjin yang kuat. Melalui perbualan beberapa orang di situ, dia mendapat tahu bahawa itu adalah model terbaru kereta Proton berkuasa elektrik. Dihasilkan sepenuhnya oleh anak Malaysia.

Dari kereta putih itu, turun sepasang suami isteri yang diiringi dengan sorakan semua mahasiswa yang hadir. Keduanya mengenakan pakaian serba hijau dengan corak bunga raya. Baju melayu lelaki yang turun dari kereta itu dipadankan dengan songkok hitam dan sampin. Manakala isterinya mengenakan tudung jenis labuh berwarna hitam sebagai pelengkap untuk menutup aurat.

Dada Pemimpin Negara berdebar. Apakah betul apa yang dilihatnya? Adakah ini pelanduk dua serupa? Seorang lelaki yang segak menjemput pasangan suami isteri itu dan Pemimpin Negara sangat mengenali susuk tubuh itu. Itulah mahasiswa yang paling dibencinya pada masa ini. Masakan mahasiswa itu berani menurunkan benderanya di PWTC pada perhimpunan agung baru-baru ini. Melalui pengumuman si pengacara majlis, dia mendapati bahawa pemuda itu merupakan menteri pendidikan.

Pemimpin negara cuba mampir dengan kelompok manusia itu. Tapi kakinya terasa berat. Pendangannya kabur. Pemimpin Negara menggila. Dia menjerit sekuat hati. Tapi tiada siapa yang mempedulikannya. Dia memaksa kudratnya untuk berjalan ke arah kelompok manusia itu. Hingga di satu tempat, dia berhenti mengumpul nafas. Dalam cungap matanya berpinar dan dunia menjadi kelam..

*****

“Tidak salah sama sekali untuk kita mencari harta kekayaan serta pangkat dan darjat. Tetapi ia tidak boleh dilakukan kerana mengikut sifat tamak haloba dalam diri, sehingga tidak mahu memberi peluang kepada orang lain melebihi mereka. Apabila sifat tamak menguasai diri, mereka akan melakukan apa sahaja untuk memenuhi kehendak diri yang tidak pernah habis”{2}
Pemimpin Negara membuka mata perlahan-lahan. Dunia masih kelihatan kabur apabila dia sedar dan dia sedang duduk di atas kerusi plastik bersama dengan ratusan pemuda yang sedang asyik mendengar. Mahasiswa barangkali..

“Pak cik, nak air mineral atau gula-gula?” seorang pemuda berkopiah putih berbaju kemeja merun menyapanya. Di dada sebelah kiri baju pemuda itu tertulis PMIUTM. Dia sangat kenal dengan singkatan itu. Persatuan yang dikira sebagai agen pembuka mata kepada semua mahasiswa yang Pemimpin Negara cuba butakan dengan hedonisme. Lidahnya kelu tidak mampu berkata apa-apa.

“Saya AJK makanan untuk program motivasi anak muda ini. insyaAllah air ini akan membantu pak cik hilangkan kantuk.” Kata pemuda berkopiah putih itu sambil tersenyum dan meletakkan sebotol air mineral di telapak tangan Pemimpin Negara.

“Para pemuda dan pemudi sekalian, jika kita menoleh lapan tahun ke belakang, kita dapat lihat bagaimana dua entiti besar politik tanah air telah bersatu dan menjadi sebuah pakatan yang benar-benar menjaga kebajikan rakyat di bawah slogan negara berkebajikan.” Panel forum yang kelihatan sangat tua itu berhenti seketika untuk meneguk air. Dia membetulkan serban putihnya lalu menyambung.

“Saya sudah tua. Selaku penasihat sebuah parti Islam, saya menyeru kepada Ar-Rijal semua untuk menimba sebanyak mungkin juntaian hikmah di ladang ilmu ini. Sesungguhnya pemuda hari ini adalah pemimpin hari esok. Sekarang, sahabat baik saya Pak Jib sedang mengadakan lawatan di IPT seluruh Perak walaupun beliau sangat sibuk dengan kerenah pertukaran status negara maju. Kerana kami sedar betapa besarnya peranan anak muda hari ini dalam membangunkan negara kelak.”

Suasana menjadi sangat sunyi apabila penceramah berhenti bercakap untuk mengumpul nafas. Semua hadirin tekun mendengar. Kebanyakannya sedang mencatat.

“Kita semua mesti ingat bahawa arah tujuan kita tidak boleh berubah. Kesediaan Perdana Menteri kita untuk menerima sistem pemerintahan Islam adalah faktor utama kepada penyatuan ini…”

Pemimpin Negara semakin bingung. Dia juga sangat kenal dengan susuk tubuh yang berada di atas pentas itu. Jubah putih, serban putih tidak pernah berubah walaupun wajahnya kelihatan lebih tua dari biasa. Kepalanya terasa sangat berat. Perasaan bercampur baur antara sedih, terkejut, marah, bingung dan takut. Air mineral di tangannya sudah habis diminum. Serasa Pemimpin Negara ingin menjerit sekuat hati. Tidak percaya dengan apa yang sedang dilihatnya..

“Tidaaakk!!..”

Pemimpin Negara membuka mata. Titik peluh sejuk memenuhi dahi. Suhu dalam bilik itu masih sejuk ditiup penghawa dingin. Jam dinding ukiran kayu jati menunjukkan tepat pukul 5 subuh. Isterinya yang tadi nyenyak tidur bingkas bangun meladeni suaminya dan mengesat peluh di dahi. Sungguh dia isteri yang sangat sayangkan suami.

“mimpi yang sama lagi ke bang?”
Pemimpin Negara tertunduk. Dia meneguk air kosong yang disediakan di tepi katil.
“Tak! Yang ini lain..”

Dia mencapai gagang telefon dan menekan punat satu.

“Ya tuan.. ada apa yang boleh saya bantu?” pembantunya menjawab dengan pantas.
“Err.. awal pagi esok saya nak jumpa imam Masjid Putra untuk berbincang sesuatu. Awak tolong aturkan itu dan juga buat persiapan untuk saya ke sana sekarang.” Arahan jelas diberikan.

“Abang nak ke Putrajaya? Sekarang? Nak buat apa?.” Mak Mah mengesat matanya yang masih belum terbuka sepenuhnya.

“Nak solat Subuh!.”

Mak Mah turun dari katil. Ingatannya kembali kepada peristiwa istimewa yang dialaminya semasa menunaikan haji bersama suami baru-baru ini. Entah kenapa pada masa itu hatinya tergerak untuk membeli sehelai telekung biasa berwarna putih dengan harga hanya sepuluh dirham. Telekung itu masih tersimpan rapi di almari pakaiannya. Adakah ini masanya?..

“Abang! Tunggu.. Mah nak ikut..!”

“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan Yang keji dan mungkar serta kezaliman. ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.” [16:90]


{1} CERAPAN = Cerpen Agak Panjang
{2} Tundukkan hati, ms 75

Saturday, December 17, 2011

Budak Surau


Ustaz kata, ‘Kita jangan biarkan diri sendiri sahaja menjadi baik. Orang yang baik, perlu mengajak orang lain turut sama menjadi baik.

Budak surau biasanya dikaitkan dengan orang yang selalu solat berjemaah si surau. Sering terlibat dengan aktiviti-aktiviti surau dan sebagainya. Istilah ini banyak digunakan dalam novel ini yang menunjukkan kesungguhan Aiman, seorang anak yatim yang mewarisi surau ayahnya - untuk menarik kawan-kawannya bersembahyang bersama-sama di suraunya.

Bagaimana Aiman mengajak kawan-kawannya untuk datang ke surau? Apakah strategi yang dilaksanakan oleh Aiman? Dan bagaimanakan Budak Surau ini mampu menjadi Ustaz Budak?*. Nikmati buku ini beserta dengan tisu…

Novel ini merupakan karya kedua Hafizul Hilmi selepas Si Blogger Kampung. Perasaan semasa membaca buku karangan sahabat sendiri sangat berlainan berbanding karangan orang lain walaupun jalan cerita novel ini tidak berkaitan dengan kami. Whoa!

* Ustaz Budak adalah gelaran yang diberikan oleh seorang ustaz yang berasal dari Kelantan yang terkenal dengan ceramah beliau pada usia muda. Malah beliau mendapat pendidikan pondok sejak dari kecil. (Kalau salah tolong betulkan).

Tajuk: Budak Surau
Tebal: 221 Mukasurat
Penulis: Hafizul Hilmi
Harga: RM14.50
Kedai: Hafizul Hilmi
Penerbit: PTS Professional

Friday, December 9, 2011

Lagenda Mat KIlang #Rokok

Awas! jangan tiru aksi ini tanpa pengawasan orang dewasa.

Suasana dalam kilang pada hari ini agak tenang. Lebih tenang dari biasa. Tiada bunyi turbine dan generator. Tiada bunyi pembakaran. Tiada bunyi kipas boiler, tiada bunyi motor pam. Hanya bunyi kipas besi dalam bengkel sahaja yang memenuhi ruang dan sesekali bunyi orang menghirup air panas 3 in 1. Memang menjadi jadual, kilang kami akan berhenti dari beroperasi pada setiap awal bulan untuk menjalani penyelenggaraan bulanan terutama sekali pada bahagian boiler.

Foreman meraba kocek bajunya lalu mengeluarkan mancis dan sebungkus rokok dan menyalakan sebatang. Aku hanya perhatikan perbuatannya sambil mendengar dengan tekun dia bercerita tentang pengalamannya sebagai seorang welder. Sesekali aku gerakkan badanku sedikit ke kiri dan kanan untuk mengelak asap rokoknya daripada terkena baju aku. Sememangnya aku lebih senang dengan baju berbau sludge daripada bau rokok.


“nah cip.. Preminum!” pelawa foreman sambil menghulurkan bungkusan rokok premiumnya.

“uishh..hahaha..macam kau tidak tahu pulak. Kalau kau bagi aku choki-choki, baru aku akan ambil” aku menolak dengan gurauan. Sungguh orang bengkel semuanya suka bergurau dan suka membahankan orang lain.

“aduuuh cip.. choli-choki apa barang. Ni ha! Dalam bengkel ni cip sendiri saja yang tidak hisap ni barang oo..” balas Foreman sambil menghentak perlahan bungkusan rokoknya. Marcus, Fitter kumpulan X yang biasanya paling bising dalam bengkel hanya memandang rokok pelawaan itu dengan penuh selera. Mungkin dia lupa lagi membeli rokok pagi tadi.

“aku bukan apa.. aku memang tidak tahan dengan asap dan habuk. Sedangkan masuk furnace pun aku mesti pakai google dan dusk mask. Inikan lagi asap rokok. Kalau kamu ni, lain cerita la. Peparu kamu kan dibuat dari stainless steel 321. Ni ha.. dia ada tulis di kotak ni, rokok mengandungi 12mg tar untuk satu kotak.” Aku memberi penjelasan dengan penuh semangat.

Semua mata memandang. Khali seketika. Kipas besi meniup deras membawa asap rokok ke sudut lain bengkel dan menghilang.

“kalau kamu hisap satu kotak sehari, maknanya kamu akan masukkan tar ke dalam peparu kamu sebanyak 144 miligram sehari. 4.32 gram sebulan. 51.84 gram setahun. Katakan kamu hisap rokok sampai tua atau selama 40 tahun, kamu akan simpan tar dalam peparu kamu sebanyak 2.0736 kilogram TAR!” aku matikan ayat sambil menghirup air 3 in 1 yang sudah suam.


“waaa… mantap kau cip! Aku setuju itu! Baik cip jangan hisap la..” Marcus yang sejak dari tadi mendiamkan diri tiba-tiba bersuara sambil tangannya dengan perlahan mencapai bungkusan rokok di hadapan aku. Foreman menjeling. Dia menyeringai menampakkan giginya yang hampir tersusun rapi.

“amboi!” foreman menyergah.

“alaa.. ini barang free ma.. you kasi sama dia, dia tidak mahu maa.. jadi saya ambil la.. nanti ada pulak orang yang kecil hati.” Marcus menjawab selamba dengan mengajuk cara pertuturan Manager Kilang.

Kemudian dia menyambung, “kau jangan risau la.. dulu engineer kita di sini Mr. Tan dengan Mr. Gan pun macam ni. Paling semangat membangkitkan kesedaran tentang bahaya rokok. Tapi akhirnya diorang pun merokok. Rokok yang mahal lagi!” Marcus menghela nafas puas. Puas dengan apa yang baru dikatakan dan puas dengan apa yang baru dinyalakan.

Aku tidak tahu mahu kata apa lagi. pengaruh rokok sangat kuat di sini. Tapi ada satu hujah yang paling kuat belum aku keluarkan. Merokok itu HARAM. Pegangan ini yang membezakan aku dengan jurutera sebelum ini. Tapi setakat ni, ia belum sesuai lagi untuk dihujahkan kepada mereka. Mungkin satu hari nanti…

“Agak-agak, kalau kita semua merokok dalam furnace atau superheater, bos boleh nampak ka asap rokok kita melalui chimney?” Marcus masih tidak mahu berhenti bercakap.

Semua orang memandangnya. Sakit otak berfikir dan serentak menjerit, “GILA!”

Thursday, December 1, 2011

Jangan Mengelat!


Integriti adalah keutuhan, jujur, amanah dan semua nilai-nilai murni dalam diri. ~buku
Integrity is the quality of having strong moral principles. ~kamus

Buku “Jangan Mengelat!” merupakan buku terbitan semula kartun-kartun “Hello Boss” yang pernah diterbitkan oleh akhbar Utusan Melayu. Ia adalah hasil usaha Institut Integriti Malaysia (IIM) bagi mengetengahkan isu integriti di kalangan rakyat Malaysia.

Dalam dunia kerjaya, integriti adalah satu peringkat moral yang agak sukar dicapai melainkan wujudnya suasana kerja yang baik dan peribadi individu itu sendiri yang faham tentang moral dan yang lebih penting faham tentang hukum Agama.

Semoga buku ini mampu memberi kesan kepada rakyat Malaysia yang sedang bekerja supaya menjadi pekerja yang berintegriti. Dan, buku ini bagi saya bukanlah buku yang terlalu mengampu pemerintah (walaupun ada sedikit). Jadi, ia sesuai untuk menjadi bahan bacaan semua orang yang inginkan contoh.

Catatan:
~jika aku ditanya tentang apa itu integriti, aku akan mengalami sedikit kesukaran untuk menjawab. Aku harap kau.. ya.. kau faham apa itu integriti. Muaaahahahaha..
~di tempat aku kerja, perbuatan pekerja yang tidak buat kerja atau lepak-lepak tanpa buat kerja, atau jalan-jalan tanpa buat kerja, atau pergi ke suatu tempat tanpa buat kerja atau yang seumpama dengannya dipanggil “MENGULAR”. Aku tidak pasti sama ada ia sama dengan “MENGELAT”.
~aku harap pemimpin kerajaan pun akan baca kritikan buat mereka ini.

Tajuk: Jangan Mengelat!. Integriti dalam Jenaka
Tebal: 145 mukasurat
Penyelenggara: Zubayry Abady Sofian
Harga: RM13.00
Kedai: BADAN Cemerlang Angsana JB
Penerbit: Tintarona Publications Sdn Bhd
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Kamsar bin Muhamad Bahron



Aku orang biasa.

Buat benda biasa.

Blog aku biasa-biasa.

Aku suka menulis tentang benda biasa.

Tapi aku akan jadi Lagenda!.

bah bah bah



Pra-Sekolah - Tiada

Sekolah Rendah Kebangsaan

Sekolah Menengah Kebangsaan - Sains Tulen

Kolej Matrikulasi - Sains Fizikal

Universiti - Kejuruteraan Mekanikal

KILANG - Maintenance



AHLAN WA SAHLAN


thelegend88


kepala otak kau!

ada soalan? ~i'm always by your side!!

"SUDUT KRITIK"

SUDUT INI MEMBERI PELUANG KEPADA PENGUNJUNG UNTUK MENGKRITIK BLOG INI SESUKA HATI MEREKA.. KALAU NAK YANG LEN, BAGI KAT BAWAH..

TIDAK BOLEH :

-BERKATA KESAT

-MEMUJI

-MENUDUH MENGKHINZIR BUTA

-MENGIKLAN

MENGAJARKAN ILMU ITU SEDEKAH

Kaunter Pukul

MUST SEE

Blog Unik

Kawan-kawan UTM

Rakan-rakan Lain

Followers

Template by KangNoval & Abdul Munir | blog Blogger Templates
HTML Free Code