Thursday, November 29, 2012

10 Muharam

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a.,
"Bahawa Rasulullah SAW berpuasa pada hari 'Asyura' (10 Muharam) dan memerintahkan supaya kita mengerjakannya."

10 Muharam
Dalam Facebook dan blog, ramai yang bersembang tentang 10 Muharam sebagai hari yang sangat baik kelebihannya untuk berpuasa.
Tapi di alam realiti (aku), lebih ramai yang menjadikannya hari yang sangat baik untuk membeli barang periuk, gayung, kuali, gula, tepung dan hari untuk mengadakan majlis.
Daaaaaaan.... aku tewas. Whoa!

Pada hari itu, aku manghadiri 2 siri membeli-belah, 2 walimah, 1 majlis tunang dan 1 majlis merisik.
Dan yang menariknya, aku sempat menyaksikan ayah gadis yang dirisik menemuduga jejaka yang merisik. Antara soalannya:
1) Kenapa saudara memilih anak saya yang berlainan bangsa dengan kamu?
2) Boleh membaca Quran?. Whoa!

Hai manusia, Sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa – bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal.
(QS. 49. Al-Hujuraat:13)
..

Monday, November 19, 2012

Tersenyumlah


Seorang perempuan yang buta huruf bertemu dengan seorang lelaki berserban yang sedang menunggang keldai. Perempuan tersebut membawa surat yang tidak dapat dibacanya dam meminta lelaki berserban tadi untuk membacakan surat tersebut untuknya.
Si lelaki meminta maaf dan berkata: “Saya buta huruf.”
Si perempuan hairan dengan jawapan ini dan bertanya: “Awak berserban tapi buta huruf?”
Lalu si lelaki tersebut membuka serbannya dan memakaikannya ke atas kepala keldainya seraya berkata: “Wahai keldai, sila baca surat ini.”

Dr. ‘Aidh Abdullah Al-Qarni. Penulis yang meninggalkan banyak kesan mendalam di buku beliau yang banyak berbicara di sekitar cinta dan kunci kebahagiaan. Termasuklah La Tahzan. Buku tebal yang aku belum berani baca.

Buku ini adalah koleksi cerita lucu yang akan membuat pembacanya tersenyum. Tapi…. Hanya untuk cerita-cerita tertentu sebab aku tidak mampu memahami maksud tersirat semua cerita di dalam buku ini terutama sekali pada bab dalam menceritakan tentang bahasa Arab. Wlm.

Peringkat Ketawa

Al-Ibtisaam: Tersenyum 
Al-Ihlaas: Tertawa Perlahan-lahan
Al-Hunuuf: Tertawa yang sifatnya lebih tegas daripada sekadar tersenyum 
Al-Iftiroor: Tertawa yang baik
Al-Katkatah: Tertawa dengan mulut tertutup dan peringkat di atas Al-Iftiroor
Al-Qorqoroh: Gelak yang lebih kuat daripada Al-Katkatah kerana ianya berulang-ulang dengan mulut tertutup
Al-Tokhtokhoh: Ketawa dengan suara “tikh-tikh”
Al-Hazqu: Memperbanyak tertawa
Al-Hazroh: Tertawa yang berlebih-lebihan

Tajuk: Tersenyumlah
Tebal: 262 mukasurat
Penulis: Dr. ‘Aidh Abdullah Al-Qarni
Harga: RM25.00 – 20%
Kedai: MPH Jusco Taman Universiti
Penerbit: Jasmin Enterprise
Entri Lain: Aku, Buku dan Cinta, Mintak Puji

Friday, November 16, 2012

Unfriend


Ko main Facebook?
Ya
Tapi Facebook tu Yahudi punya
Tidak mengapa kalau guna untuk berdakwah
Macam mana?
Letak pesanan yang baik-baik dan Islamik.

[Jeda]
Aku benci dengan dia tau!. Memang dasar perangai buruk. Padan muka dah kena unfriend oleh aku. Haha.. Jangan tanya siapa sebab aku tidak akan bagitahu.


Wednesday, November 7, 2012

Lagenda mat Kilang #Rokok [dua]

 Sambil senyum kambing, aku angkat perlahan cawan putih yang sudah sumbing lalu menghirup air suam 3in1. Lega. Muka dan dada yang panas kembali tegang. Juruteknik hanya memandang 3in1-nya di-hampir-habis-kan.

Petang itu breakdown kurang. Projek sampingan mereka sudah siapkan awal. Masing-masing letih berborak tentang pelbagai tajuk. Dari pengalaman masa muda-muda, masuk cerita tentang kahwin, kereta, hantu, minuman keras, rokok dan kahwin sekali lagi.

“Aku ada soalan untuk kamu semua.” Aku membuka tajuk baru. Semua mata memandang orang yang paling banyak bercakap pada hari itu walaupun dia yang paling kurang pengalaman.

“Begini.. Kalau, kalau dan kalau lah, kerajaan mendapati cara meletakkan gambar mayat bayi dan kaki bengkak di kotak rokok ni tidak berkesan.” Semua semakin bersemangat sebaik sahaja mendengar perkataan rokok.

“Dan tiba-tiba kerajaan jadi bengong dengan menukarkan semua jenis rokok kepada warna merah jambu. Pink! Kamu masih mahu hisap?.” Ayat dimatikan dengan kening terangkat.

“Isk! Peduli apa aku? Rokok tetap rokok.” Seorang perokok bersuara.

“Daaan.. kalau dia letak di batang rokok tu gambar bunga-bunga. Macam pondan!.” Kali ini dengan kening terangkat-angkat. Beberapa orang mula ragu-ragu untuk menjawab.

“Aku, tetap hisap. Tapi tapuk-tapuk* la..” Salah seorang bersuara.

“Hahaha!. Ada lagiiii… dan kalau rook-rokok tu semua berbentuk zakar. Mahu?.”

“Kahkahkahkahkah…” Semua manusia dalam bengkel ketawa termasuk yang tidak merokok.

Hari itu aku dapat dua orang yang sanggup berhenti merokok kalau ia benar-benar dilaksanakan tidak termasuk yang masih ragu-ragu.

Pesanan:
 Berdasarkan pemerhatian aku, remaja terjebak dengan rokok kebanyakannya kerana ingin kelihatan macho. Termasuklah kawan sekolah aku. Ini adalah peringkat mereka terikut-ikut dan belum ketagih dengan rokok.

Buktinya? Waktu sekolah menengah, stesen bas sekolah kami akan dipenuhi oleh pelajar pada waktu pulang. Tempat lelaki dan perempuan bercampur. Dan benda paling ketara yang aku perhatikan kawan-kawan yang berkongsi satu batang rokok untuk 5-6 orang ni, mereka akan jeling pelajar perempuan sebaik sahaja mendapat giliran menyedut rokok kongsi.

So? Mereka rasa Cool, macho dengan rokok tersebut dan mereka merasakan orang yang melihat mereka turut merasakan mereka cool. Dan mereka harap orang Nampak la mereka hisap. Titik. Tapi ia tidak berlaku kepada pelajar yang memang sudah ketagih pada usia muda tersebut.

*Tapuk = Sembunyi 


Sunday, November 4, 2012

Bercinta Sampai ke Syurga

Orang bertanya kepada Mother Theresa tentang formula menghasilkan dunia yang aman lalu beliau berkata “Go home and love your family”.

Buku Bercinta sampai ke syurga adalah kesinambungan daripada buku pertama ‘Aku Terima Nikahnya’ karangan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Kalau siri pertama buku ini menceritakan betapa indahnya perkahwinan yang ditunjangi iman dan taqwa dan betapa romantiknya bercinta selepas kahwin, buku kedua ini lebih kepada bicara tentang hakikat kekeluargaan.

Berbekalkan pengalaman menyimpan kisah banyak keluarga yang bermasalah, beliau membuat kesimpulan perkahwinan yang Islamik, menjaga batas-batas agama dan sefikrah bukanlah jaminan menuju kebahagiaan. Tapi ia tetap lebih baik daripada yang lain.

Bagi saya, sesiapa yang sudah membaca buku ‘Aku Terima Nikahnya’ mesti meneruskan bacaan kepada buku ini supaya tidak terbuai dalam mimpi ‘cinta Islamik’ semata-mata dan tidak mengenal hakikat yang sebenar. Whoa!

Penulis turut membincangkan tentang isu poligami dengan panjang lebar dan ia diakhiri dengan pencerahan tentang tujuan perkahwinan iaitu “MENUJU KETAQWAAN”.

Tajuk: Bercinta Sampai ke Syurga
Tebal: 271 mukasurat
Penulis: Hasrizal Abdul Jamil
Harga: RM25.00
Kedai: Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012
Penerbit: Galeri Ilmu Sdn. Bhd

...

Thursday, November 1, 2012

Lagenda mat Kilang #Kerja untuk apa?

Hari ni, kaki aku ditindih oleh bilah kipas Cooling Tower (berat!). Tapi aku mintak tolong sambil ketawa dan orang tolong sambil ketawa.

“Alright. Siapa di sini yang tahu dia kerja untuk apa, sila ambil tangan.” Sunyi… Pagi itu cuaca sejuk. Pekerja baru termasuk enginair diwajibkan menghadiri sesi briefing di dalam bilik penyaman udara bersama pihak pengurusan.
“Come on.. ada yang tahu?”
“Saya tahu bos!.” Seorang lelaki mengangkat tangan dengan semangat.
“Apa dia?.”
“Mestilah cari duit bos…” lelaki itu tersenyum puas.
“Ooo.. kalau begitu, mula besok pagi saya mahu you kerja di tempat letak kereta. Di situ ada semut yang selalu panjat tiang. You kira berapa ekor semut yang panjat setiap hari dan saya akan bayar awak accordingly.” Plant Manager mengangkat kening. Lelaki tadi tergamam.

Kalau diikutkan, mahu sahaja aku baca balik objektif kerja yang aku tulis dalam resume semasa temuduga tempoh hari. Tapi aku tahu aku perlu berfikir panjang sebelum berbicara dengan orang di hadapan aku sekarang. Dia bukan calang-calang orangnya. Ramai orang lama beritahu aku dia tidak pernah kalah dalam argument dengan orang bawahan walaupun dia yang salah!.

[Jeda]

Beberapa bulan pertama, aku kerja dengan perasan rajin dalam kilang. Untuk survival dan belajar sebanyak dan secepat mungkin cara kerja dalam kilang. Apabila gaji diterima pada setiap hujung bulan, aku (dan orang lain) mula membuat senarai barang yang ingin dibeli.

Kali pertama gaji dipotong selepas aku order baju overall atau coverall. Untuk keselesaan dan keselamatan semasa maintenance bulanan.

Beberapa bulan kemudian, aku order Safety Boot jenama ‘Safety Jogger’ tinggi hingga buku lali. Ia untuk melindungi bahagian kaki apabila berdekatan dengan kerja pemotongan besi. Juga potong gaji dan lebih mahal.

Kemudian aku order mesin basuh untuk basuh motor baju. Supaya aku tidak perlu lagi basuh baju dengan tangan. Balik kerja, badan letih, mana ada mood mahu basuh pakaian.

Sekarang, orang sekeliling menyarankan aku beli kenderaan berbumbung sebab kenderaan dua roda tidak sesuai digunakan untuk jarak perjalanan aku balik kampung. Kalau ada kenderaan berbumbung, maka senanglah aku ulang-alik 74.2 kilometer antara rumah quarters dan rumah kampung tanpa basah kuyup diludah awan.

[tapi]

Aku masih malu-malu untuk mengakui bahawa sejak empat belas bulan aku bekerja, aku lebih cenderung untuk bekerja keras untuk bekerja. Faham?

“Saya mahu kamu mengambil peluang bekerja di sini untuk belajar seeeeban’yak mungkin. Memang betul ramai orang muda yang kerja di sini dan lari bila sudah pandai. Tapi saya tidak pernah halang mereka sebab mereka mahu belajar.”

Legasi perjuangan dan janji penuh semangat aku bersama sahabat beberapa tahun lalu tidak akan dapat dilupakan. Menyumbangkan harta dan tenaga untuk perjuangan Islam. Ya.. tapi praktikalnya dimana dong?. Jangan sampai dibilang retorik.

...

Wednesday, October 31, 2012

Gasak

Kalah dan menang itu belakang cerita. Apa yang lebih penting adalah kesanggupan berperang demi kedamaian. Buku ini adalah buku aksi, aksi watak-watak yang berpegang kepada prinsip bahawa aksi lebih kuat laungannya dari kata-kata kosong. ~Editor

Setelah sekian lama menggemuk, akhirnya aku dipertemukan dengan senaskhah buku yang mampu mengembalikan aku ke dalam dunia pendekar. Kalau dulu aku mahu menjadi Power Rangers dan hero antigraviti, selepas membaca buku ini aku kembali bersemangat membina semula stamina yang semakin tumpul. Aku mula berangan menjadi sepantas Muhammad Ali dan sekuat Arnold. Whoa!

Awas! ini adalah buku untuk para pendekar.

~Lebih baik mati dengan prinsip daripada hidup macam pondan.

Tajuk: Gasak
Tebal: 141 mukasurat
Penyelenggara / Editor: Mat Jan / Tok Rimau
Harga: RM20.00
Kedai: Gobok Buku
Penerbit: Sindiket Sol-Jah

Monday, October 29, 2012

Dua minit bersama dunia

Soalan: Jika ditakdirkan anda mendapat peluang untuk bercakap tentang Islam kepada seluruh penduduk bumi selama dua minit. Apa yang anda akan sampaikan?

Beberapa tahun lepas, aku pernah bertanya soalan yang sama. Tapi bukan di sini laa.. dan soalan ini mendapat respon yang agak baik dari beberapa orang yang mengambil berat tentang peluang keemasan ini.

Ada yang mahu memberitahu dunia bahawa Islam bukan agama keganasan. Ada yang mahu meyampaikan dakwah Islam melalui Al-Imran,19. Malah ada yang menggunakan kejaiban sains dalam Al-Quran.

[tapi]

Masa yang diberi hanya dua minit dan tidak semua orang yang sudi memberikan masa hidupnya selama dua minit kepada seorang manusia yang tidak dikenali dan berbicara mengenai agama bukan anutannya.

[2006 masihi]

Di satu sudut surau sebuah matrikulasi Borneo. Seorang lelaki berkopiah putih duduk di hadapan papan putih dan dikelilingi beberapa orang junior yang ingin belajar ilmu akhirat.

"Ha... siapa mahu bagi pendapat? kamu ada masa dua minit".
Semua mendongak merenung tajam wajah senior mereka mengharapkan jawapan percuma.

"sebenarnya abang pun tidak tahu mahu cakap apa bila berhadapan situasi demikian. Tapi setakat ini abang sudah menggariskan tiga perkara utama untuk disampaikan."

1) Islam adalah agama yang mudah.
2) Peluang untuk membuat pahala lebih banyak daripada peluang untuk  melakukan dosa.
3) Orang Islam boleh membuat apa sahaja yang mereka mahu kecuali perkara yang dilarang di dalam Al-Quran dan Hadis.

"faham?"
"Faham. tapi.."
"Tidak ada tapi. Ini bukan skema jawapan. Kamu bebas membuat jawapan sendiri tapi ingat, sila ambilkira siapa mad'u kamu dan manfaatkan pertemuan singkat itu dengan optimum. Jika ditakdirkan orang yang mendengar itu mendapat cahaya, dia akan berusaha sendiri mencari penjelasan."
"Ooooo.."

Hari itu aku mendapat pengajaran yang amat berguna walaupun masih belum tahu bila ia akan diaplikasikan. Daaan... Tiba-tiba aku rindu dengan Dragon Ball.. Adakah ia akan tamat di situ sahaja atau akan bersambung?.

ps: cerita yang digaram dan cukup rasa-kan untuk kepuasan bacaan.
...

Sunday, October 28, 2012

Meet my 15 Year Old me

 Awas! Ini adalah tulisan berbahasa Melayu yang bertajuk bahasa Inggeris memandangkan tajuk entri ini buruk kalau letak dalam bahasa Melayu.

Masa tingkatan tiga, aku selalu harap diri aku yang sudah Berjaya datang ke sekolah dan belanja aku makan di kantin.
Masa tingkatan lima, aku selalu harap diri aku yang sudah kaya datang ke sekolah menaiki Ferrari jemput aku pulang dari kelas tambahan. Jadi tak payah lagi aku tumpang lori untuk pulang ke rumah.
Masa aku jadi pengawas dan bergaduh dengan kaki pukul kampung sebelah, aku selalu harap diri aku yang sudah besar dan taff datang bantu aku sparring.
Masa aku kebosanan, aku selalu harap diri aku yang sudah genius datang dengan robot bawa aku terbang.
Masa aku di UTM, aku selalu harap diri aku yang engineer segak datang melawat aku bertanya khabar.

Tapi itu semua tidak berlaku dan aku terus berharap tanpa sedar aku sudah menjadi diri aku yang aku mahu jumpa dahulu (walaupun banyak kriteria yang tidak terjadi). Duduk sendirian di kuarters di hadapan laptop layan Facebook dan update blog.

Kalau sekarang ditakdirkan aku Berjaya mencipta mesin masa dan aku Berjaya kembali ke masa lalu, tentu seronok melihat diri aku termenung sendirian mengharap pertemuan seorang manusia dari dua garis masa. Tapi ia tidak akan berlaku kerana sekarang aku tidak mahu menjadi seperti Nobita yang hanya serius setelah Doraemon pergi. Whoa!

p/s: berdasarkan sejarah, aku memang tidak bertemu dengan diri aku dari masa depan. Tapi masih ada kemungkinan aku memerhatikan diri muda aku dari jauh. Terrr…
..

Sunday, October 7, 2012

Harga barang


Isu harga barang naik sudah banyak dibahaskan.
Apa yang pasti, kebajikan rakyat yang terbela adalah bukti kerajaan yang baik. Bukan dibuktikan melalui logo dan gambar menteri di merata-rata tempat.

Tahap pelajaran bukan kunci utama untuk menjadi pemimpin pilihan rakyat.
Tapi tolonglah jangan bodoh sangat...

Dulu ada menteri yang suruh rakyat tukar gaya hidup kesan daripada kenaikan harga barang.
Akibatnya, rakyat 'silap dengar' dan mereka sedang mengubah kerajaan. whoa!
..

Thursday, September 27, 2012

Gangnam


Oppa Gangnam Style.
Lagu ini tidak ada kaitan dengan perjalanan Isra' Mikraj nabi.
Lirik lagu ini tidak tidak ada kaitan dengan Yahudi.

Jadi boleh enjoy?
Haaa.. itu perlu diteliti dahulu.
Ada sedikit fakta mengenai lagu ini di sebuah blog yang paling serius di alam semesta. Tapi kesahihannya aku tidak tahu.
Daaaaaaaan... sebagai pengajaran, cuba tengok siapa penyanyi lagu ni.

Masa aku sekolah rendah, lagu makarena sangat terkenal. aku masih ingat lagi usaha aku untuk menulis lirik lagu Makarena versi bahasa inggeris hingga kaset aku hampir putus sebab rewind banyak kali.

Naik tingkatan dua, lagu Aserehe ha rehe bla bla bla mendapat tempat di hati orang. Di mana-mana ada aserehe. Hatta Apek Senario pun buat lawak aserehe. Dan khabar angin paling menarik tentang lagu ini adalah tentang lirik lagu ini yang menceritakan tentang keenakan SUP KUCING yang dimakan bersama Kicap. Sebab itulah ia dipanggil Ketchup SOng. Whoa!

Poco-poco kemudian menjadi terkenal semasa aku tingkatan empat. Semasa perkhemahan pengakap di sekolah, kami ramai-ramai ditawarkan ilmu tarian ini. Tapi masa itu tidak tahu macam mana aku ter'lepak' di surau dan ada senior bagitahu yang tarian itu sebenarnya membuat bentuk salib. maka aku pun percaya sekejap. Masuk Matrikulasi, kelas aku ditakdirkan masuk kelab aerobik untuk ko-kurikulum. Gerakan utamanya adalah poco-poco. Maka kami pun diajar hingga menjadi pakar. Masuk UTM, Minggu pertama adalah MSH dan aku serta beberapa orang dipaksa menari poco-poco di hadapan orang ramai. terrr...

Sekarang adalah Gangnam dan ia akan luntur juga satu hari nanti. Sekarang yang penting manager aku tidak akan suruh engineernya menari Gangnam Style. Whoa!.


Kesimpulan:
Manusia sekarang tercari-cari bahan yang mereka boleh ikuti. Bahan apa? tidak tahu. Yang pasti adalah bahan tersebut adalah sesuatu yang mampu menggembirakan hati.... "If you know what i mean" ~
...

Tuesday, September 25, 2012

Dunia ini Sederhana Kecil


Kata ibu, “Hidup manusia ini seperti roda. Kadangkala di atas kadangkala di bawah. Tidak penting kamu berada di atas ataupun di bawah, yang penting sebenarnya kamu bergolek di mana? Sama ada jalanan itu berlumpur, berduri ataupun kamu bergolek di padang-padang rumput yang indah.”

Buku ini aku capai di kedai buku MPH Lapangan Terbang Senai sebab aku suka desain kulitnya dan tertarik dengan kata-kata ‘ibu’ yang ditulis di belakang buku.

Bermula dengan lelaki muka berminyak, Lelaki gempal, wanita berlesung pipit, profesor, orang kaya, tauke botol kicap cap Basikal Sulaiman dan banyak lagi manusia misteri yang pelik dalam buku ini, mereka akhirnya bertemu di akhir cerita. Satu penceritaan yang menarik!.

Di awal buku, aku sangka ia adalah sebuah buku cinta di antara siswazah yang menganggur dengan wanita sepondok bas dengannya. Tapi rupanya ia jauh lebih menarik dari itu dan boleh dikatakan mereka berjaya menyelamatkan dunia dengan membantu B. siapa pulak B?. haahha!...

~Kalau ada filem untuk novel ini, aku mahu nonton.

Tajuk: Dunia ini Sederhana Kecil
Tebal: 436 mukasurat
Penulis: Bahruddin Bekri
Harga: RM23.90
Kedai: MPH AeroMall Senai
Penerbit: PTS One Sdn. Bhd
...

Friday, September 14, 2012

Masa Depan yang canggih

 

Kenal benda ni? orang panggil benda ni Hover-Board sebab ia adalah skateboard yang hover. whoa!

Filem Back to the Future adalah filem 80-an. Dan pada masa itulah Steven Spielberg mampu menerbitkan filem yang sangat mindblown seperti ini. Masakan tidak, penulis berjaya mengaitkan tiga siri filem ini antara satu sama lain hingga terdapat dua hero yang sama pada masa dan tempat yang sama!.

Berdasarkan filem ini juga, si hero mendapat Hover-Board ini pada tahun 2015. Well, three more years to go!.

...

Sunday, September 9, 2012

Pahlawan #1

 Adapun hari ini sangat terik panasnya. Tapi tugas yang belum selesai perlu dibereskan jua. Seorang pendekar siap dengan keris sepanjang satu kaki digenggam erat. Tenggoloknya berkibar deras di atas kepala semasa berjalan laju melalui pantai pelabuhan Melaka. Pendekar tersebut diiringi oleh sekumpulan pengawal atas arahan sultan walaupun ia sebenarnya tidak perlu.

 “Hei Jebat! Keluar kau.. Keluar sekarang!. Kalau tidak, helang ini sendiri yang akan datang menerkan mangsanya.”

….

 Tuah kehabisan kata-kata. Hanya kedengaran bunyi daun bergeser ditiup angin.

“Ciss! Sudah terluka ditikam pari, Sudah derhaka angkuh lagi. kau, kau, kau dan kau semua, ini urusan antara aku dengan si penderhaka itu. Tuan hamba semua tunggu di sini. Tidak kira siapa yang mati, uruskan jenazah dengan cara yang baik.”

 “Errr.. encik..” Seorang pemuda mengangkat tangan.

“Ya orang muda. Ada gerangan apa menunjuk awan sedemikian rupa?”

“Eh, sorry. Saya Cuma nak bagi pendapat, pertarungan ini sepatutnya dapat dielakkan. Tidak salah rasanya kalau korang berdua duduk berbincang. Abang Jebat boleh jelaskan kenapa dia ingkar arahan Sultan dan Abang Tuah boleh berikan pendapat abang”. Semua mata pengawal tertumpu pada seorang anak muda berjaket merah yang ada tanda bintang dan berseluar tebal warna biru.

 “Siapa namamu anak muda?.” Tuah tersenyum sekejap.

“Orang sini panggil saya Awang sejak tiga bulan lepas. Abang Jebat yang bagi nama tu sebelum dia ajar saya silat.”

“Betis diminta paha diberi. Sedikit ditanya banyak jawabnya. Tidak mengapa anak muda, gelanggang pertarunganlah meja perbincangan pendekar.” Tuah berpaling semula ke arah rumah Jebat. Keris dalam sarungnya masih digenggam erat.

“Hiiiasshh…” Dengan sekali lompatan Tuah berdiri gagah di hadapan pintu rumah Jebat sekaligus mengabaikan kehadiran sepuluh anak tangga rumah tersebut. Dia kemudian berjalan perlahan ke dalam rumah tanpa sebarang bunga. Dia yakin saudaranya Jebat bukan seorang bacul yang menyerang dari belakang pintu.

Sepuluh minit berlalu, Hang Tuah dan Hang Jebat berpandangan dengan kuda-kuda masing-masing. Seorang saudara ingin berbakti kepada sultannya. Seorang lagi saudara ingin menunjukkan kebenaran.

“Hiap!.” Tuah membuka buah Jurus Angin Purnama ke arah muka Jebat. Jebat dengan pantas membongkok ke belakang. Terasa angin berhawa panas meniup ke mukanya. Tanpa membazir langkah, Jebat menghayun kaki kiri ke arah tengkuk Tuah tapi pergerakannya dapat dibaca dengan mudah. Tuah menangkap tegap kaki Jebat dengan tangan kanannya lalu menghasilkan angin dalam bentuk gelombang di sekitar rumah.

“Duuushh!.” Semua pengawal terkejut.

“Tuah, dengarkan kataku. Sesungguhnya Sultan itu juga adalah manusia. Kita perlu luruskan apa yang bengkok walaupun benang yang dibasahkan oleh baginda.” Jebat cuba membina pengaruh.

“Ah! Persetan dengan jalan lurus. Kau sudah menderhaka!.” Tuah cuba membuka jurus Angin Purnama sekali lagi dengan tangan kirinya. Pada masa yang sama, Jebat melompat dengan kaki kanan lalu menghentak padat telapak kakinya ke dada Tuah. Kedua-dua pendekar terpelanting ke dinding. Rumah bergegar.

Awang yang dari tadi diam berpaling ke arah pantai. Kapal pedagang akan berlayar ke Langkasuka tidak lama lagi. dengan juraian air mata dia melangkah pergi.

“Usah kau risau urusan kami bersaudara. Apabila dua pendekar bertemu. Darah pasti tumpah ke bumi. Pergilah kau melihat dunia. Agar kau tahu asbab kau diperlihatkan sejarah.”

[Bersambung]
...

Sunday, September 2, 2012

Act like a Lady, Think like a Man

Seorang Pelawak terkenal menulis sebuah buku yang agak serius mengenai lelaki bagi memudahkan golongan wanita memahami cara lelaki berfikir. Secara ringkas, cinta seorang lelaki hanya berkisar pada “The three P’s of LoveProfess (Memberi Kenyataan), Provide (Memberi Nafkah) dan Protect (Memberi Perlindungan)”. –The End-

Well, it’s not so hard to understand man. And I also read this book to understand me.

PS: It’s an opinion from a non-muslim western man.

Tajuk: Act like a lady, Think like a man
Tebal: 193 mukasurat
Penulis: Steve Harvey
Harga: RM22.00 – 35%
Kedai: PWTC: Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011
Penerbit: PTS Professional

Monday, August 20, 2012

Lagenda Mat Kilang #Cerita Rekaan

 Life is too short for Photoshop.

“Orang lain sibuk gaduh nak pilih sama ada beraya di rumah ibubapa atau mertua, abang pula sibuk nak kerja waktu hari raya!. Apa ni?”

“Saya malu tau nak jawab bila orang tanya kenapa saya beraya sorang-sorang?. Kalau anak tanya macam mana?. Takkan nak bagitahu diorang teknologi sekarang belum mampu menyimpan tenaga elektrik dalam gudang dan sebab tu power plant tidak boleh berhenti walaupun hari raya.”

 “Lagi satu, apa ertinya baju raya satu set yang kita tempah ni? Tak payah pakai?”

[jeda]

 “Cis, sudah pukul 5.30 petang. Nasib baik aku dah solat asar tadi.” Getus hati Kasram (Bukan nama sebenar).
bau minyak pelincir tidah dihiraukan. Tangannya masih berwarna hitam minyak kotor selepas bergelut dengan gearbox Cooling Tower Fan yang rosak tadi. Tapi itu semua tidak penting asalkan dia sempat sampai ke rumah sebelum 1 Syawal berakhir. Itu janji kepada keluarganya.

Bukan dia tidak mahu beraya bersama keluarga tapi tuntutan pekerjaan di sebuah power plant memaksanya berkorban untuk penduduk sekeliling termasuk keluarganya sendiri.

[jeda]

Woo woo woo
Balek kampong!
Balek kampong!
Hati girang!..

Tidak semena-mena lagu Sudirman mengganggu lamunannya.
 “Eh, henpon aku!”
“Helo sayang.”
“Abi! Abi di mana?”
“Err..abi on the way ni. Kejap lagi sampai. Sudah makan?”
“belum. Umi suruh tunggu abi sampai. Cepat la abi, pakcik-pakcik semua dah ada ni”
“iya.. iya.. abi tengah maximum speed nih”
“hati-hati ya. Mak kirim salam. Kikiki”
“hahaha….

Toootttt.. Toootttt…

[jeda]

 Pukul 5.45 petang.
Sebuah Proton Saga FL bertembung dengan lori sawit.
Proton remuk teruk, Lori remuk bahagian hadapan.
Pemandu lain singgah mengambil gambar dan upload dalam instagram dan Facebook.

Pukul 5.55 petang.
Seorang pemuda motor menelefon ambulans dan polis.
Langit mendung berubah menjadi merah saga.
Seorang ibu memangku anak kecilnya sambil menunggu kepulangan suami tercinta.

 [jeda]

Kasram (bukan nama sebenar) membuka mata perlahan-lahan. Belakangnya terasa lenguh dan tenguknya sakit. Di sebelah kiri, dia memandang ibunya yang bermata sayu.

 “Mak, mana ***?” Kasram cuba bersuara. Ibunya hanya membisu.
“Mak! Mana isteri dan anak saya?!” Riak wajah ibunya tiba-tiba berubah tapi masih belum berkata apa-apa.
Kasram cuba bangun tanpa menghiraukan sakit pada belakang dan tengkuknya.
“Mak, bagitau mak.. mana diorang?” Dengan perlahan-lahan, ibu mencapai bantal yang berhampiran lalu memukul Kasram dengan sekuat hati.

“Kawu niiihh!! Dari tadi aku suruh bangun, kawu ndak mau!. Siapa suruh kawu tidur di sofa? Kawu mau cuci ka?. Pagi-pagi raya sudah mengigau.. tu lah, mak suruh cari, kawu cakap masih awal. Kawu tu dereba hari ni pegi masjid. Tapi baru mau bangun… bla.. bla..”

 Kasram cepat-cepat meluru ke dalam bilik lalu mencapai tuala. Sakit lenguh pada belakang dan tengkuknya tidak dihiraukan. Esok raya kedua adalah gilirannya untuk kerja di kilang. Itu sudah cukup bagus berbanding raya sejak enam tahun sebelumnya yang tidak dapat dinikmati bersama keluarga.

Hari itu hari raya. Hari itu hatinya berbunga… whoa!

Thursday, August 9, 2012

Tarawih yang terlebih meriah

Ramadhan semasa aku kami budak, kami suka pergi sembahyang tarawih di masjid. Dengan berjalan kaki ramai-ramai dalam gelap sejauh 1.1 kilometer, kami bersaing untuk mereka lampu suluh yang paling canggih. Ada yang guna lilin yang diletak dalam tin. Dan ada yang guna bateri dan lampu ayam.

Ramadhan semasa kami budak, kami suka pergi sembahyang tarawih di masjid. Bersaing dengan kawan siapa yang mampu ikut imam yang laju itu sebanyak 20 rakaat. Kalau letih, kami duduk diam-diam walaupun di saf yang tengah-tengah.

Ramadhan semasa kami budak, kami suka pergi sembahyang tarawih di masjid. Waktu pulang ke rumah adalah waktu untuk berlari, mengganggu kawan, buli budak yang lebih budak dan bercerita tentang hantu dan keajaiban malam Lailatul Qadar.

Ramadhan semasa aku sudah bekerja, masih ramai budak yang datang ke masjid. Tapi untuk bermain. Ini yang aku rasa macam mahu lempang budak-budak nih. Tapi mereka juga bijak. Walaupun berpeluh, mereka tetap duduk Tahiyat Akhir bersama-sama imam. Wlm..

~Things just got more serious now.
~Umur menjangkau duapuluhlima tahun sebelas hari, masa dulu sudah jauh berlalu..
..

Tuesday, July 31, 2012

Lagenda Mat Kilang #Kering

Aku dah kata bearing ni cuma ada horizontal load. Vertical load sangat kecil dan boleh diabaikan. Tapi budaya tuding jari masih lagi menjadi kuasa besar dalam diri manusia yang ....

 Relau (Furnace) adalah tempat pembakaran bahan api di Dandang (Boiler). Di sana, bahan api dimasukkan dan dikawal oleh Stoker. Primary Fan meniup udara panas dari lubang-lubang kecil pada lantai Furnace. Secondary Fan meniup udara dari persekitaran dari lubang di sekitar dinding Furnace. ID Fan menyedut udara dari Furnace untuk menghasilkan tekanan udara negatif dan menarik udara panas di Furnace ke tempat lain. Sisa bahan bakar pula akan dikeluarkan dari Furnace dengan menggunakan Vibrating Grate. Satu mekanisma yang menggegarkan lantai Furnace.

[Jeda]

Pagi 8 Ramadhan cerah. Secerah hari-hari sebelumnya sebagai persediaan mentari untuk menunjukkan bahangnya pada tengah hari nanti. Kerja kilang memang perlukan banyak tenaga. Tidak seperti semasa belajar dahulu. Sahur lima belas minit bersama roti sudah cukup untuk menghadapi hari sibuk sebagai mahasiswa malah untuk berjogging pada petang hari. Tapi sekarang sahur sudah jatuh hukum wajib untuk memastikan survival puasa pada hari tersebut.

Hanya beberapa langkah masuk ke dalam kilang, sudah mendapat arahan untuk menukar Plummer Block untuk bearing Vibrating Grate yang pecah hari ini juga. Kerja yang tidak begitu susah bagi Fitter yang berpengalaman luas dengan bearing. Tapi... Vibrating Grate terletak di sebelah Furnace. Tempat yang sangat berhabuk, kering, gelap dan panas. Jika suhu Furnace mencecah 800 darjah celcius, suhu di luar furnace pula adalah umpama berdiri di sebelah unggun api sambil memasak buras!.

[Jeda]

Kulihat jam besar yang tergantung di dinding bengkel. Baru pukul 12.30 tengah hari?. Leher baju dilibas-libas di hadapan kipas yang sudah meniup kencang. Cuba bersandar pada kerusi dan menutup mata seketika. Kemudian kembali melihat jam. Masih 12.30?!.

"Cip, kalau aku mengular petang ni, faham-faham lah ya... aku mahu puasa penuh!". Seorang apprentice sudah bersuara.

Di satu sudut bengkel, Fitter yang sangat bekerja keras tadi duduk termenung mengumpul nafas sambil menikmati secawan 3in1 dan rokok Preminum. Oh, dia tidak wajib berpuasa.

Dari kejauhan pula terdengar lagu 'setengah hari' oleh orang yang tidak diketahui..

[jeda]

Hari ini hari sabtu. Kerja setengah hari. Tapi puasa tetap sehari. Sampai sahaja di rumah, lantai mosaic menjadi saksi tumbangnya seorang mat kilang dibaham dahaga paling hebat sepanjang sejarah perjuangannya melawan hawa nafsu.

"Semoga mereka yang lain juga berjaya di dalam sana..."
...

Wednesday, July 25, 2012

Nota Mat Kilang #How to get myself employed

Hari ini genap setahun aku jadi Mat Kilang.
Aku kerja di kilang yang nombor dua dapat resume aku dan yang nombor satu temuduga aku.

 Gambar hiasan. Antara Gearbox yang besar dalam kilang. 60KPD
 [Jeda]

Zaman sekarang, bilangan pemegang ijazah sangat ramai. Ada orang kata, kedudukan seorang pemegang sarjana muda adalah sama dengan pemegang diploma 10 atau 20 tahun lalu.

Setiap tahun, beribu-ribu graduan dilepaskan dari pagar universiti. Tapi peluang pekerjaan hanya akan ada jika;
1. Ada orang pencen atau naik pangkat
2. Ada aktiviti baru seperti pembukaan kilang dan lain-lain
3. Ada idea, modal dan kesungguhan untuk bekerja/berniaga sendiri
4. Yang lain kamu boleh tambah sendiri

Kelayakan – Nak jadi jurutera, mesti ada kelayakan. Ijazah sarjana muda kejuruteraan, sijil-sijil dan lain-lain. Kalau hanya ada sijil STPM, maka boleh la isi borang UPU.

Update Resume – Resume beserta cover letter adalah satu-satunya harta yang aku bagi kepada syarikat yang aku nak jumpa. Jadi, resume aku sudah dipastikan kebal dari kesalahan minor, lengkap untuk membuktikan aku layak dan berharga serta mampu menunjukkan yang aku adalah orang yang bersungguh-sungguh. Lepas tu baru print out banyak-banyak.

Go out – Bukan terperap dalam rumah dan menghadap komputer dan berharap akan ada syarikat yang ingin mengambil aku bekerja. Menghantar emel sahaja bukan idea yang bijak. Bersama dengan motosikal buruk aku, aku berlegar-legar di kawasan perindustrian. Bukan kawasan bandar sebab aku bukan nak membeli-belah.

Maklumat – dengan buku nota kecil dan sebatang pen, aku dapatkan sebanyak mungkin nama syarikat yang ada di situ. Kemudan aku pergi cari internet (cyber café) untuk main facebook. Lepas tu baru cari maklumat tentang semua nama syarikat yang sudah disenaraikan.
1. Adakah ia berkaitan dengan kejuruteraan?
2. Adakah anda akan suka kerja di situ?
3. Berapa kaya-kah syarikat tersebut?

Hantar hardcopy resume – lepas dapatkan maklumat, buang nama syarikat yang tidak berkaitan. Hantar hardcopy resume mengikut keinginan. Syarikat pertama yang dapat resume aku adalah syarikat yang aku sangat harapkan akan terima aku dan seterusnya.

Tunggu – lepas hantar resume, aku tunggu beberapa hari. Kalau tidak ada respon, aku cari nama syarikat lain dan hantar lagi resume sebanyak-banyaknya. Tidak perlu menunggu iklan kerja kosong baru mintak sebab setiap syarikat ada jabatan sumber manusia sendiri. Bila terdapat kekosongan, mereka akan merujuk kepada resume yang jabatan mereka terima terlebih dahulu. Jka tidak ada, barulah mereka akan keluarkan iklan. Ini bermakna, aku berada setapak dihadapan orang yang menunggu iklan.

Akhirnya setelah beberapa minggu, aku dapat panggilan temuduga daripada syarikat yang kedua menerima resume aku…alhamdulillah..


Masa menganggur, aku layan lagu Iwan Falls, Sarjana muda.
Dan kurangkan layan lagunya yang bertajuk Pesawat tempur.Whoa!
..

Tuesday, July 24, 2012

Pengaruh Illuminati dalam kehidupan seharian orang bujang dan petua mencari jodoh


Tahukah anda, golongan Freemason sedang mengawal ekonomi dunia dengan menjadikan manusia biasa termasuk umat Islam sebagai tapak piramid atau kasta mereka lalu meletakkan Dajjal sebagai entiti yang berada paling atas sekali pada piramid tersebut. Tanpa kita sedari, nasi Lemak yang kita makan setiap hari (bagi yang tidak ada tukang masak tetap) sengaja dibuat berbentuk piramid untuk mempengaruhi manusia sejagat. Whoa!

Baiklah. Sebelum aku dimaki, aku mahu maklumkan bahawa ini adalah eksperimen untuk aku melihat perkara yang mempengaruhi populariti suatu entri dalam blog.
1) Tajuk yang menarik minat. Siapa yang bukak blog buruk ni sebab terbaca tajuk, mintak maaf la banyak-banyak.
2) Ada orang kata, kalau mahu blog mudah ditemui dalam enjin pencarian seperti Google, mesti guna perkataan/ayat yang orang selalu guna.

Facebook-Saya suka bermain Facebook dengan kawan-kawan
Lisa Surihani-Nama kawan saya adalah Liasa Surihani
Spiderman-The Amazing Spiderman adalah filem spiderman yang menggunakan kuasa pasang siap
Batman-Saya belum menonton filem Batman yang terbaru
Naruto-Anime Naruto sangat popular di Jepun kerana melibatkan banyak lagenda Jepun didalamnya
PRU-13-Pilihanraya umum akan diadakan sebelum tahun 2014

Sekian dan terima kasih.

Sunday, July 22, 2012

Things just getting serious here

Tommy. Flute. Megazord.

 Rambut Kuning. Mata ungu. Menjerit lebih kuat

  
Twin GN Driver. Trans am.

 Cakhra berganda. Hilang Kawalan. Kyuubi

Perhimpunan beberapa makhluk berlainan warna kulit dan kostum.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia.

Dari kecil hingga sekarang, TV adalah rakan berbual yang banyak menghabiskan masa aku dan rakyat jelata yang lain. Daripada masa tersebut, ada beberapa saat yang menunjukkan waktu itu adalah waktu untuk serius. Tidak ada masa untuk main-main. Lawan tetap lawan! kita lawan habis-habisan!. Sekali lawan tetap bertahan! biar kalah, kalah berjuang!.

~ada yang sudah sibuk mengatur baju raya
~ada yang sibuk buat kuih raya
~yang tidak habis baca Quran, perlu buat keputusan samada teruskan bacaan atau ulang semula
~yang tidur mati, cari jam loceng baru
~yang budak-budak mula berlatih.
Sebab puasa bukan benda main-main...
..

Sunday, July 1, 2012

Lagenda Mat Kilang #Lelaki berkulit merah


34 inci kali 50 inci.
Ukuran satu keping mild steel setebal 6milimeter yang perlu aku sediakan pagi itu.
Dengar cerita, General Manager ada memanggil pembekal barang datang untuk promosikan barang baru mereka. Mereka ada bahan campuran seramik yang mampu melekat pada besi sebagai penampal dan mampu bertahan dan lebih kukuh dari bahan binaan asal. Mild steel.

Setelah memberi arahan kepada salah seorang fitter untuk memotong kepingan logam tersebut, pandangan kami semua beralih kepada tiga orang yang sedang menuju ke arah bengkel kami. Kelibat yang tidak pernah dilihat. Jurutera General Manager berjalan paling hadapan dengan membawa sesuatu dalam beg kain. Sesekali dia megusap dahinya yang pasah berpeluh. Di belakangnya, kelihatan seorang lelaki india. Baju kemejanya dimasukkan ke dalam seluar menyerlahkan perutnya yang tidak berapa rata. Di sebelah kirinya berjalan seorang lelaki berkulit merah. Rambutnya putih dan perang. Lab Coat-nya yang kelihatan comot terkena bahan kimia berkibar-kibar menampar tubuhnya yang besar semasa berjalan melalui Cooling Tower. Dialah orang yang paling kerap mengelap peluh semasa berjalan.

“Sebelum diorang tegur aku, baik aku cabut dari sini.” Ayat penutup yang aku ucapkan untuk menutup sesi penerangan tadi.
“Hello, my name is **** from *** and this is Mr.****. What can I call you?”. Aku terkejut. Rupanya langkah mereka lebih cepat dari yang aku jangka. Mereka sudah berada di balakang aku sejak bila?.
“Err, im Kamsar” Aku jawab ringkas. Tidak mahu lebih.
“He is actually the maintenance engineer here” Jurutera General Manager menambah.
Nampaknya aku terperangkap dengan mereka.

“Jadi, kamu mahu nampak plat yang sudah bocor atau kamu mahu plat baru yang kami potong?” aku berbisik kepada jurutera di sebelah aku.
“kita pergi tengok yang sudah bocor la dahulu”
“ok. Lets gone!”

Salah satu masalah di sini adalah bahan api yang terdiri daripada fiber mempunyai sifat menghakis yang kuat. Struktur konveyor yang membawa bahan api pula dibina berdasarkan bahan logam. Jadi, lantai konveyor kami sering bocor akibat geseran dan erosion.

Aku berjalan pantas. Jauh meninggalkan mereka bertiga. Sebab kedua adalah kerana laluan ke tempat tujuan kami dipenuhi dengan fiber halus yang berterbangan. Manakala sebab pertama adalah kerana aku tidah mahu berbual panjang walaupun aku adalah kaki bual.

Beberapa minit mereka perhatikan lantai konveyor yang rosak diselangi soalan kepada aku berkaitan dengan kondisi dan sejarah konveyor contoh tersebut. Orang berkulit merah itu sempat bertanya kepada aku ‘can I take a photo of this conveyor?’ dengan loghat UK.
Aku hanya mampu menjawab ‘sure!’ beserta senyuman yang menahan ketawa.

 [jeda]

Spesimen sudah siap. Mild steel plate baru terlentang di atas lantai dan bersedia untuk dirosakkan dengan grinder dan dibaiki semula dengan produk seramik mereka atas dasar kajian dan eksperimen.

Orang berkulit merah itu membuat demonstrasi menampal kepingan logam tersebut sambil diselangi perbualan aku dengan penonton lain tentang betapa tidak efisyennya produk tersebut. Masakan mahu tunggu 45 minit baru boleh sapu lapisan yang kedua dan dikeringkan selama tiga hari sebelum boleh diguna. Bagaimana pula dengan konveyor kami yang perlu beroperasi 24 jam?.

Kenapa perlu bersihkan kepingan logam tersebut dengan sabun dan digosok sehingga kasar sedangkan kami hanya memerlukan beberapa minit untuk menampal kebocoran dengan kepingan logam yang lain?

Entah kenapa kami gembira mengata orang yang berbahasa inggeris di depan kami. Dan orang berkulit merah itu hanya meneruskan penerangan beliau dalam bahasa inggeris loghat UK-nya.

[jeda]

 Urusan mereka hampir selesai. Orang berkulit merah itu mengambil kesempatan untuk berborak dengan orang maintenance yang berada di dalam bengkel. Dari jauh aku perhatikan mereka dengan perasaan pelik. Bagaimana orang maintenance yang kebanyakannya warga Indonesia boleh berbual dengan lelaki dari UK?.

“ini rokok you bélli dén’gan duit énam ringgit. Isi ada dua belas batang cigarette. Ini saya béli témbakau di US déngan duit énambélas rhinggit. Syaya bole gulung and smoke about sératus batang”. Semua orang terpegun. Ada yang terpegun dangan bahasa Melayu loghat UK-nya, Ramai yang terpegun dengan jenis rokoknya yang ekonomik dan kurang membahayakan kesihatan. Dan aku pada masa tersebut hanya mampu berfikir dalam hati..”Oh God, Why?” sambil mengenang kembali semua tutur bicara aku di hadapan lelaki berkulit merah tersebut…

Sunday, June 24, 2012

Nota Mat Kilang #Pipe Reducer

Awas! Ini bukan bom


Untuk memudahkan kerja, semua bahan, alat dan tenaga kerja perlu disediakan terlebih dahulu sebelum memulakan sebarang projek. Namu dalam keadaan tertentu, terdapat masalah yang tidak dapat dielakkan termasuklah kekurangan bahan.

Tahukah anda, kebanyakan Q-Pump mempunyai diameter inlet pipe yang lebih kecil berbanding outlet?.

Pernyataan Masalah:
Sebuah Pump perlu dipasang bagi mengepam air kolam untuk dirawat dan digunakan di boiler.
Paip yang digunakan dalam sistem adalah 8inci.
Paip masukan untuk pam adalah 5inci.
Paip keluaran untuk pam adalah 3inci.
Masalah besar adalah kami tidak ada Pipe Reducer untuk menyambungkan semua paip ini.

Tindakan:
Buat Pipe Reducer daripada paip 8inci sebab kalau ikut prosedur order paip, ia makan masa berminggu. Whoa!

Cara-cara:
1) Bahagikan bulatan paip kepada 8 bahagian. [makin banyak makin cantik dan makin susah]
2) Kira lilitan bulatan diamter paip yang ingin dikurangkan. S = 3.142D
3) Bahagikan nilainya kepada 8 [ikut bilangan garisan yang kamu buat]
4) Daripada nilai tersebut, tandakan pada hujung paip jarak tersebut dengan meletakkan garisan yang pertama tadi di tengahnya.
5) Buat garisan seperti dalam lampiran dan potong.
6) Ketuk ke dalam hingga jadi seperti gambar di atas. Panaskan jika perlu.
7) Kimpal.

[jeda]

Ini hanyalah nota untuk membuat pipe reducer biasa. Lebih baik kalau beli
Rasanya tidak ada yang faham. Sebab aku pun sakit hati mahu buat ayat untuk terangkan.
Lain kali mungkin ada gambar setiap langkah.
Whoa!

Lampiran




Friday, June 22, 2012

Sakit gigi


Aku seorang enjinAir
Belajar aliran Sains Fizikal
Cita-cita semasa kecil tidak pernah jadi doktor [seingat aku la] jadi, secara mudahnya, aku tidak layak untuk komen yang bukan-bukan tentang doktor dan pengamal perubatan lain.

Cuma, aku harap kita dapat bersama-sama berusaha memajukan taraf hidup masyarakat mengikut bidang masing-masing.
Dan jangan tawarkan aku ubat tahan sakit tanpa membuat pemeriksaan terlebih dahulu.
Biar sakit bhai.. asal jangan salah makan ubat...


Wednesday, June 20, 2012

Happy Father’s Birthday


Hari jadi bapa dengan hari bapa beza dua hari.
Raikan dua hari istimewa dengan hanya setangah kilo kek.
Syukur la kami lebih suka makan nasi daripada roti kosong yang disalut dengan krim. Whoa!

Saturday, June 16, 2012

Lagenda Mat Kilang #Inception solat

Persembahan nasyid oleh pelajar mengaji beberapa saat selepas pokok bunga telur setinggi syiling masjid rebah menimpa mereka. Budak-budak memang bersungguh-sungguh!. Mana ada budak-budak bermain tidak berpeluh..

[jeda]

Allahuakbar…
Laporan Monthly Shutdown sudah siap. Sekejap lagi akan print.
Eh, laporan Annual Shutdown yang setebal thesis tu belum siap lagi!
Banyak kerja yang perlu dibuat sekarang. Mana mahu cari kontraktor lagi untuk tukar struktur konveyor paling kritikal dalam Power Plant ni.
Bercakap pasal conveyor, aku belum habis kaji lagi pasal semua jenis scrapper. Aduii..
Kalau dulu di kampus, aku suka buat kajian. Kenapa sekarang tidak?

..Bla..bla..bla..

Dulu, aku suka buat analisis apabila berhadapan dengan nombor.
Sekarang aku jumpa terlalu banyak nombor sampai aku geli mahu belek data dari Scada System.
Teringat pulak kawan-kawan sekampus.
Kata orang, dulu bersama-sama aktif. Sekarang seorang-seorang pasif.
Apa nak jadi.

Bla..bla..bla..

Bercakap pasal seorang-seorang, malam ni mahu rosakkan pintu tandas supaya hose air ke mesin basuh baru aku boleh lalu.
Mahu harap orang maintenance, diorang lebih suka bercakap pasal tukang basuh dan tukang masak yang berharga sepuluh ribu ringgit. Apa laa..

Bla… Bla.. Bla..

Assalamualaikum warahmatullah…
Astaghfirullah al’aziim. Habis empat rakaat sia-sia. Wirid dan doa ringkas dibaca sebelum bergegas keluar dari surau sebesar 9 x 9 kaki itu untuk menyambung kerja dunia yang belum siap. Sekali lagi anak Adam dilalaikan dengan kesibukan dunia walaupun sedang berhadapan dengan Tuhannya.

Assalamualaikum warahmatullah…
Ya! Begitulah entri untuk blog aku nanti! Mesti ramai yang seronok baca. Aku akan kongsikan dalam Facebook. Ramai orang akan buka dan komen. Blog aku akan jadi terkenal!

Wirid dan doa ringkas dibaca sebelum bergegas keluar dari surau sebesar 9 x 9 kaki itu untuk menyambung kerja dunia yang belum siap. Sekali lagi anak Adam dilalaikan dengan kemegahan dunia walaupun sedang berhadapan dengan Tuhannya.

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang Yang beriman, Iaitu mereka Yang khusyuk Dalam sembahyangnya..” [Al-Mukminun:1-2].

Assalamualaikum warahmatullah…
 Dan aku akan tambah ayat sedikit. Mudah-mudahan ramai yang akan berfikir. Wirid dan doa ringkas dibaca sebelum bergegas keluar dari surau sebesar 9 x 9 kaki itu untuk menyambung kerja dunia yang belum siap. Sekali lagi anak Adam dilalaikan dengan kebanggaan dunia walaupun sedang berhadapan dengan Tuhannya.

“isk.. kau bah cip. Suka betul solat sendiri-sendiri. Apa salahnya berjemaah.” Pengguna tetap surau sudah sampai. Kerjanya agak senang dalam kilang. Cuma pastikan biomass yang akan masuk ke dalam boiler untuk dibakar sentiasa ada dalam Stoker dan mengawal jumlah isinya. Jadi, dia hanya boleh beredar dari tempat kerjanya apabila keadaan pembakaran stabil.

“Kau yang lambat! Aku blah la yerrr..”

Thursday, June 7, 2012

I'm an Engineer

Cuba bayangkan kalau waktu kamu sekolah rendah cikgu bertanya tentang cita-cita kamu apabila besar nanti.

Kemudian kamu jawab dengan yakin kepada cikgu tersebut, nanti saya mahu jadi Maintenance Engineer di sebuah Stesen Jana Kuasa Biomass yang terbesar di Sabah sebelum saya mampu mendapatkan Steam Certificate dan menjadi Pengurus di sana. Selain itu, saya juga mahu membuka sebuah ladang menternak kambing dalam bentuk Farmstay yang boleh dijadikan tempat untuk beraktiviti. Saham syarikat saya nanti akan diberikan sebahagiannya untuk membantu perjuangan Islam. [contoh].

Agak-agak apa respon cikgu?
Tapi dulu masa aku darjah satu, aku pernah letak Pemain Bola Sepak pada pilihan kedua cita-cita aku.
Aku suka buat benda yang aku suka. Whoa!

Tuesday, June 5, 2012

The Invisible Man

I'm a rider.
I once dream to buy a superbike and ride fast, loudly and proudly on the road.
I once dream to be a hero that ride a big motorcycle to help people and to be called Black Rider.
I once dream to be a genius engineer that have a motorcycle that can transform into Rider Warrior.

I know i still can be it! because now i have a power called "The Invisible Man".

~Brain are awesome. I hope everybody had one!

Monday, June 4, 2012

Kawan lama

Ia adalah antara pengalaman yang paling lama dapat aku ingat.
Masa tu aku darjah satu. Umur tujuh tahun dan suka main buaian depan rumah.
Buaian itu didirikan dengan paip GI bertalikan Rantai dan bertapakkan kayu Meranti (kalau tidak silap).

Pada zaman itu, aku kenal seorang kawan tidak rapat. Umur dua tahun lebih muda. Namanya Rusli.
Sebagai senior, aku mesti menunjukkan kehebatan dan segala kepakaran aku untuk mendapat respect junior-junior.

Semasa ramai kanak-kanak bermain kejar-kejaran di taman permainan depan rumah, aku memanjat buaian besi itu. Kerana menghayun buaian dengan perlahan dalam keadaan duduk adalah sangat mainstream, aku hayun buaian dengan kuat dalam keadaan berdiri. aku tidak takut sebab aku selalu buat.

Hari itu jadi hari bersejarah apabila junior aku itu tadi berlari ke arahku dalam keadaan gembira. aku cuak. Buaian ni mana ada break!. Aku jerit suruh beredar pun dia tidak faham.
 Dengan sekelip mata, kayu Meranti (kalau tidak silap) yang aku sedang pijak di atas buaian yang bergerak pada kelajuan lebih kurang 10 kilometer sejam memindahkan sebahagian tenaga kinetiknya kepada dahi junior aku. Buub!! macam buah kelapa sawit dia jatuh.

Aku fikir, impak itu tidaklah terlalu kuat. sebab buaian yang aku naik tu menghampiri turning point untuk beralih arah. Ini bermakna kelajuan buaian aku sedang berkurang dan akan menjadi kosong. Itu apa yang aku fikir. Tapi masa tu aku belum jadi enginair. Jadi aku salah. Junior aku berguling-guling atas rumput sambil menangis.

Orang ramai mengerumuni dia. Dia masih menangis. Aku hanya duduk diam. Orang tanya apa yang berlaku, aku tidak tahu macam mana mahu jawab. Blink!. Tak tahu kenapa ingatan aku sampai situ sahaja..
[Tamat]

Ahad baru-baru ni, aku balik bercuti di rumah. Rusli yang bekerja di Sarawak berada di rumah aku sebab ada urusan penting. Kami terpisah semasa aku darjah empat sebab dia pindah rumah. Bila aku berdepan dengan dia, aku terus tengok keningnya sambil tanya khabar. Eh! ada kesan!. Diam-diam sudaaaa...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Kamsar bin Muhamad Bahron



Aku orang biasa.

Buat benda biasa.

Blog aku biasa-biasa.

Aku suka menulis tentang benda biasa.

Tapi aku akan jadi Lagenda!.

bah bah bah



Pra-Sekolah - Tiada

Sekolah Rendah Kebangsaan

Sekolah Menengah Kebangsaan - Sains Tulen

Kolej Matrikulasi - Sains Fizikal

Universiti - Kejuruteraan Mekanikal

KILANG - Maintenance



AHLAN WA SAHLAN


thelegend88


kepala otak kau!

ada soalan? ~i'm always by your side!!

"SUDUT KRITIK"

SUDUT INI MEMBERI PELUANG KEPADA PENGUNJUNG UNTUK MENGKRITIK BLOG INI SESUKA HATI MEREKA.. KALAU NAK YANG LEN, BAGI KAT BAWAH..

TIDAK BOLEH :

-BERKATA KESAT

-MEMUJI

-MENUDUH MENGKHINZIR BUTA

-MENGIKLAN

MENGAJARKAN ILMU ITU SEDEKAH

Kaunter Pukul

MUST SEE

Blog Unik

Kawan-kawan UTM

Rakan-rakan Lain

CAPAIAN

Followers

Template by KangNoval & Abdul Munir | blog Blogger Templates
HTML Free Code