Buku Bidayatul Hidayah karangan Al-Imam Hujjatul Islam Abu Hamid Al-Ghazali atau Imam Al-Ghazali ini merupakan sebuah kitab yang menceritakan tentang panduan amalan harian yang banyak menyentuh tentang adab. Ia telah diterjemahkan semula oleh Abu Ali Al-Banjari An Nadwi atau lebih dikenali sebagai Ahmad Fahmi Zamzam.
Di permulaan buku ini, penulis mengingatkan para pembaca tentang salah satu kaedah Islam iaitu:
“Apa yang tidak dapat dibuat semua, maka jangan ditinggalkan semua”
Oleh itu, segala panduan amalan harian dalam buku ini adalah salah satu cara untuk menigkatkan ketaqwaan kepada Allah. Maka sekiranya kita tidak mampu untuk mencapai peringkat ketaqwaan yang tertinggi, itu bukanlah perkara yang tercela. Sebaliknya yang menjadikan kita tercela adalah jika tidak melakukan usaha sedangkan kita masih mampu untuk melakukannya.Hidayah adalah satu buah daripada ilmu dan hidayah itu terbahagi kepada permulaan (bidayah) dan kesudahan (nihayah). Oleh itu, bagi mencapai nihayatul hidayah, maka hendaklah kita menyelami zahir hidayah itu terlebih dahulu iaitu bidayatul hidayah.
Buku ini dibahagikan kepada tiga bahagian utama. Bahagian pertama menceritakan tentang adab-adab melaksanakan ketaatan bermula dari bangun dari tidur sehinggalah kita tidur semula pada malam harinya. Ia juga menceritakan dari sekecil-kecil perkara seperti adab masuk tandas dan cara membuang air sehinggalah adab-adab dalam berpuasa dan sebagainya. Bab ini dapat dijadikan panduan untuk amalan seharian oleh sesiapa sahaja termasuklah orang yang bekerja, pencari ilmu dan semua peringkat umur. Maka, harapan penulis di hujung bab paling panjang ini adalah agar para pembaca dapat meneruskan pembacaan di dalam kitab besar beliau, Ihya ulumuddin kerana kitab ini tidak menceritakan berkaitan dengan bab-bab dalam melaksanakan ibadah haji dan zakat.
“bersabarlah engkau hari ini mungkin engkau akan mati pada malam nanti dan bersabarlah malam ini, mungkin engkau akan mati pada besok pagi kerana mati tidak datang pada masa yang tertentu dan dalam keadaan yang tertentu. Kematian pasti akan datang. Oleh itu, bersiap-siap untuk menghadapinya adalah satu kepastian pula dan bersiap-siap untuk menghadapinya adalah lebih utama daripada bersiap-siap untuk mendapatkan kebahagiaan dunia. Bukankan engkau memang sudah mengetahui bahawa engkau tidak akan lama hidup di dunia ini. Barangkali umurmu hanya tinggal satu hari atau hanya tinggal sekali nafas sahaja lagi.”
Bahagian kedua buku ini pula menceritakan tentang cara-cara meniggalkan maksiat termasuklah maksiat zahir (anggota badan) dan maksiat batin (hati). Meninggalkan maksiat zahir adalah termasuk menjaga mata, telinga, lidah, perut, kemaluan, dua tangan dan dua kaki. Fasal ini menunjukkan pembaca betapa banyaknya maksiat yang kita lakukan dalam kehidupan seharian tanpa disedari kerana ternyata syaitan telah Berjaya membuatkan kita melakukan maksiat yang telah diselaputi dengan keindahan sehingga kita menyangka bahawa apa yang kita lakukan itu adalah satu perbuatan yang baik. Manakala fasal kedua pula menceritakan tentang cara-cara meninggalkan sifat hasad, riak dan ujub. Sifat-sifat ini adalah sifat yang amat berbahaya sekali kerana ia adalah maksiat yang tidak dapat dilihat dengan pandangan mata sehingga dikhuatiri akan menjerumuskan diri kita ke arah mensyirikkan Allah SWT. Nauzubillah.
Manakala bahagian ketiga pula menceritakan tentang adab-adab pergaulan dan persahabatan dengan khaliq dan dengan makhluk. Adab dengan makhluk pula dibahagikan kepada adab dengan guru, murid, ibu bapa dan seluruh manusia. Kesemuanya dapat dikelaskan kepada tiga iaitu orang yang tak dikenali, orang yang dikenali (tetapi bukan sahabat) dan dengan sahabat. Dengan mempelajari adab-adab pergaulan ini, diharapkan agar kita dapat menjadi roll model kepada orang lain di samping menjalankan tanggungjawab sebagai seorang dai’e.
CARA MEMILIH SAHABAT
1) Orang yang berakal
Berkata Saidina Ali KWH:
“dan jangan engkau bersahabat dengan orang yang bodoh. Jauhi akan dia.
Berapa banyak orang yang jahil yang telah membinasakan orang alim ketika ia bersahabat dengannnya.
Seseorang itu dinilai mengikut tingkatan sahabat yang ia berjalan dengannya.
Kerana bagi segala sesuatu ada ukuran dan keserupaannya.
Maka begitulah halnya hati yang menyerupai hati yang lain.
Ia akan menunjukkan hubungan ketika adanya pertemuan (persahabatan).”
2) Orang yang baik akhlaknyaBerapa banyak orang yang jahil yang telah membinasakan orang alim ketika ia bersahabat dengannnya.
Seseorang itu dinilai mengikut tingkatan sahabat yang ia berjalan dengannya.
Kerana bagi segala sesuatu ada ukuran dan keserupaannya.
Maka begitulah halnya hati yang menyerupai hati yang lain.
Ia akan menunjukkan hubungan ketika adanya pertemuan (persahabatan).”
“saudaramu yang sebenarnya ialah orang yang selalu menolongmu (di waktu senang dan susah) dan ia sanggup berkorban kerana memberi manfaat kepadamu, dan ia sanggup memecahkan (menyelerakkan) segala urusannya kerana menolong engkau dalam menghadapi bala dan ujian”
~Saidina Ali KWH~3) Orang yang soleh
“Dan Bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keridhaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya Telah kami lalaikan dari mengingati kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas.”
~Surah Al-Kahfi : 28~4) Jangan bersahabat dengan orang yang tamak dunia
Maka suka sekedudukan dengan orang yang tamak pada dunia akan menambah tamakmu kepada dunia. Dan sebaliknya suka sekedudukan dengan orang yang zuhud akan menambah zuhudmu kepada dunia.
5) Orang yang benar
Jangan bersahabat dengan orang yang pendusta. Mungkin ia akan menipu engkau, kerana ia seperti fatamorgana yang seakan-akan mendekatkan yang jauh atau menjauhkan yang dekat.
Sebagai penutup, Rasulullah pernah bersabda:
“perumpamaan dua orang yang bersaudara itu ialah perumpamaan kedua belah tangan, di mana yang satu membasuh yang lain.”
-HR Abu Mansor Ad Dilami-~semoga dengan sedikit panduan ini dapat memacu kita ke arah mendapatkan hidayah dari Allah SWT.~
TAJUK: Bidayatul Hidayah
PENULIS: Imam Al-Ghazali
PENTERJEMAH: Ahmad Fahmi Zamzam
TEBAL: 190 mukasurat
HARGA: RM10.00
BELI: Kakak Bagi..ngeh..ngeh..ngeh..
~Ada soalan?~
0 Perbincangan:
Post a Comment