Awas! jangan tiru aksi ini tanpa pengawasan orang dewasa.
Suasana dalam kilang pada hari ini agak tenang. Lebih tenang dari biasa. Tiada bunyi turbine dan generator. Tiada bunyi pembakaran. Tiada bunyi kipas boiler, tiada bunyi motor pam. Hanya bunyi kipas besi dalam bengkel sahaja yang memenuhi ruang dan sesekali bunyi orang menghirup air panas 3 in 1. Memang menjadi jadual, kilang kami akan berhenti dari beroperasi pada setiap awal bulan untuk menjalani penyelenggaraan bulanan terutama sekali pada bahagian boiler.
Foreman meraba kocek bajunya lalu mengeluarkan mancis dan sebungkus rokok dan menyalakan sebatang. Aku hanya perhatikan perbuatannya sambil mendengar dengan tekun dia bercerita tentang pengalamannya sebagai seorang welder. Sesekali aku gerakkan badanku sedikit ke kiri dan kanan untuk mengelak asap rokoknya daripada terkena baju aku. Sememangnya aku lebih senang dengan baju berbau sludge daripada bau rokok.
“nah cip.. Preminum!” pelawa foreman sambil menghulurkan bungkusan rokok premiumnya.
“uishh..hahaha..macam kau tidak tahu pulak. Kalau kau bagi aku choki-choki, baru aku akan ambil” aku menolak dengan gurauan. Sungguh orang bengkel semuanya suka bergurau dan suka membahankan orang lain.
“aduuuh cip.. choli-choki apa barang. Ni ha! Dalam bengkel ni cip sendiri saja yang tidak hisap ni barang oo..” balas Foreman sambil menghentak perlahan bungkusan rokoknya. Marcus, Fitter kumpulan X yang biasanya paling bising dalam bengkel hanya memandang rokok pelawaan itu dengan penuh selera. Mungkin dia lupa lagi membeli rokok pagi tadi.
“aku bukan apa.. aku memang tidak tahan dengan asap dan habuk. Sedangkan masuk furnace pun aku mesti pakai google dan dusk mask. Inikan lagi asap rokok. Kalau kamu ni, lain cerita la. Peparu kamu kan dibuat dari stainless steel 321. Ni ha.. dia ada tulis di kotak ni, rokok mengandungi 12mg tar untuk satu kotak.” Aku memberi penjelasan dengan penuh semangat.
Semua mata memandang. Khali seketika. Kipas besi meniup deras membawa asap rokok ke sudut lain bengkel dan menghilang.
“kalau kamu hisap satu kotak sehari, maknanya kamu akan masukkan tar ke dalam peparu kamu sebanyak 144 miligram sehari. 4.32 gram sebulan. 51.84 gram setahun. Katakan kamu hisap rokok sampai tua atau selama 40 tahun, kamu akan simpan tar dalam peparu kamu sebanyak 2.0736 kilogram TAR!” aku matikan ayat sambil menghirup air 3 in 1 yang sudah suam.
“waaa… mantap kau cip! Aku setuju itu! Baik cip jangan hisap la..” Marcus yang sejak dari tadi mendiamkan diri tiba-tiba bersuara sambil tangannya dengan perlahan mencapai bungkusan rokok di hadapan aku. Foreman menjeling. Dia menyeringai menampakkan giginya yang hampir tersusun rapi.
“amboi!” foreman menyergah.
“alaa.. ini barang free ma.. you kasi sama dia, dia tidak mahu maa.. jadi saya ambil la.. nanti ada pulak orang yang kecil hati.” Marcus menjawab selamba dengan mengajuk cara pertuturan Manager Kilang.
Kemudian dia menyambung, “kau jangan risau la.. dulu engineer kita di sini Mr. Tan dengan Mr. Gan pun macam ni. Paling semangat membangkitkan kesedaran tentang bahaya rokok. Tapi akhirnya diorang pun merokok. Rokok yang mahal lagi!” Marcus menghela nafas puas. Puas dengan apa yang baru dikatakan dan puas dengan apa yang baru dinyalakan.
Aku tidak tahu mahu kata apa lagi. pengaruh rokok sangat kuat di sini. Tapi ada satu hujah yang paling kuat belum aku keluarkan. Merokok itu HARAM. Pegangan ini yang membezakan aku dengan jurutera sebelum ini. Tapi setakat ni, ia belum sesuai lagi untuk dihujahkan kepada mereka. Mungkin satu hari nanti…
“Agak-agak, kalau kita semua merokok dalam furnace atau superheater, bos boleh nampak ka asap rokok kita melalui chimney?” Marcus masih tidak mahu berhenti bercakap.
Semua orang memandangnya. Sakit otak berfikir dan serentak menjerit, “GILA!”
0 Perbincangan:
Post a Comment