Gambar yang langsung tidak ada kaitan dengan Cerapan “Pemimpin Negara yang baik adalah yang mula-mula sekali menderita jika rakyatnya susah. Dan jika rakyatnya menikmati kesenangan, dialah yang terakhir sekali menikmatinya”.
Lelaki berjanggut dan berjubah putih itu mematikan butir bicara sambil menyarung kembali pedangnya yang berada di leher seorang Pemimpin Negara.
Dengan terketar-ketar, pemimpin itu bertanya “siapa kau? Kau pengganas dari kumpulan mana? Aku sanggup bayar kau berapa sahaja asalkan kau tidak ganggu aku lagi. kalau kau mahu kapal selam atau jet pejuang negara aku, aku sanggup berikan.”
Lelaki berjanggut dan berjubah putih itu tersengih dan membalas “Aku Faruq. Aku tidak perlukan semua itu kerana Allah bersama dengan golongan yang benar.”
“Mustahil! Zaman sekarang duit dan kuasa adalah segala-galanya. Kalau tidak, masakan negara-negara asia timur dibantai oleh polis dunia!”
“Kau silap wahai pemimpin buta! Satu hari nanti kau akan lihat betapa pertolongan Allah itu melebihi kuasa kuffar” lelaki berjanggut dan berjubah itu berjalan meninggalkan Pemimpin Negara yang dalam kebingungan.
“hei! Tunggu! Tungguuuu..”
Pemimpin Negara membuka mata. Titik peluh sejuk memenuhi dahi. Suhu dalam bilik itu agak sejuk ditiup penghawa dingin. Jam dinding ukiran kayu jati menunjukkan tepat pukul 2 subuh. Isterinya yang tadi nyenyak tidur bingkas bangun meladeni suaminya dan mengesat peluh di dahi. Sungguh dia isteri yang sangat sayangkan suami.
“mimpi yang sama lagi ke bang?”
Pemimpin Negara itu tidak menjawab. Dia meneguk air kosong yang disediakan di tepi katil.
“tak apa lah bang.. abang sambung tidur la. Esok kan ada sidang parlimen. Mah pun ada perjumpaan dengan isteri-isteri menteri esok.”
*****
Pemimpin Negara menggigil dalam tidurnya. Kepalanya diletakkan di atas lantai mosaic. Lengannya diapit oleh kedua kakinya. Kerana tidak tahan dengan kesejukan, dia membuka mata perlahan-lahan. Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati dirinya berada di atas lantai sebuah bangunan yang banyak buku.
Dia bingkas bangun dan berlari ke luar bangunan tersebut. Di hadapan bangunan itu terpacak tiga tiang bendera yang mengibarkan bendera Malaysia, bendera Negeri Perak dan satu lagi bendera yang tidak dikenalinya. Dalam lelah, dia membaca tanda ‘Bangunan Suluh Budiman’ di hadapan bangunan tersebut. Dia semakin bingung..
Tidak jauh dari tempat Pemimpin Negara berdiri, dia melihat ramai orang sedang berkumpul. Dalam ratusan pemuda yang pada hemat Pemimpin Negara adalah mahasiswa, mereka membawa pelbagai sepanduk dan papan tanda. Antara slogan yang diucapkan adalah seperti ‘Terima Kasih Pak Jib’, ‘Pemimpin berwibawa, wawasan tercapai hari ini’, dan banyak lagi slogan seolah-olah sedang meraikan pemimpin hebat bernama Najib yang berjaya membawa Malaysia menjadi sebuah negara maju pada hari tersebut.
“2020? Najib? Eh, itu kan.. tapi kenapa..?.”
Belum sempat Pemimpin Negara mendekati kumpulan manusia tersebut, tiba-tiba sebuah kereta putih yang mempunyai logo Proton meluncur laju di hadapannya. Hampir-hampir saja dia dilanggar kerana kereta tersebut tidak mengeluarkan bunyi enjin yang kuat. Melalui perbualan beberapa orang di situ, dia mendapat tahu bahawa itu adalah model terbaru kereta Proton berkuasa elektrik. Dihasilkan sepenuhnya oleh anak Malaysia.
Dari kereta putih itu, turun sepasang suami isteri yang diiringi dengan sorakan semua mahasiswa yang hadir. Keduanya mengenakan pakaian serba hijau dengan corak bunga raya. Baju melayu lelaki yang turun dari kereta itu dipadankan dengan songkok hitam dan sampin. Manakala isterinya mengenakan tudung jenis labuh berwarna hitam sebagai pelengkap untuk menutup aurat.
Dada Pemimpin Negara berdebar. Apakah betul apa yang dilihatnya? Adakah ini pelanduk dua serupa? Seorang lelaki yang segak menjemput pasangan suami isteri itu dan Pemimpin Negara sangat mengenali susuk tubuh itu. Itulah mahasiswa yang paling dibencinya pada masa ini. Masakan mahasiswa itu berani menurunkan benderanya di PWTC pada perhimpunan agung baru-baru ini. Melalui pengumuman si pengacara majlis, dia mendapati bahawa pemuda itu merupakan menteri pendidikan.
Pemimpin negara cuba mampir dengan kelompok manusia itu. Tapi kakinya terasa berat. Pendangannya kabur. Pemimpin Negara menggila. Dia menjerit sekuat hati. Tapi tiada siapa yang mempedulikannya. Dia memaksa kudratnya untuk berjalan ke arah kelompok manusia itu. Hingga di satu tempat, dia berhenti mengumpul nafas. Dalam cungap matanya berpinar dan dunia menjadi kelam..
*****
“Tidak salah sama sekali untuk kita mencari harta kekayaan serta pangkat dan darjat. Tetapi ia tidak boleh dilakukan kerana mengikut sifat tamak haloba dalam diri, sehingga tidak mahu memberi peluang kepada orang lain melebihi mereka. Apabila sifat tamak menguasai diri, mereka akan melakukan apa sahaja untuk memenuhi kehendak diri yang tidak pernah habis”{2}
Pemimpin Negara membuka mata perlahan-lahan. Dunia masih kelihatan kabur apabila dia sedar dan dia sedang duduk di atas kerusi plastik bersama dengan ratusan pemuda yang sedang asyik mendengar. Mahasiswa barangkali..
“Pak cik, nak air mineral atau gula-gula?” seorang pemuda berkopiah putih berbaju kemeja merun menyapanya. Di dada sebelah kiri baju pemuda itu tertulis PMIUTM. Dia sangat kenal dengan singkatan itu. Persatuan yang dikira sebagai agen pembuka mata kepada semua mahasiswa yang Pemimpin Negara cuba butakan dengan hedonisme. Lidahnya kelu tidak mampu berkata apa-apa.
“Saya AJK makanan untuk program motivasi anak muda ini. insyaAllah air ini akan membantu pak cik hilangkan kantuk.” Kata pemuda berkopiah putih itu sambil tersenyum dan meletakkan sebotol air mineral di telapak tangan Pemimpin Negara.
“Para pemuda dan pemudi sekalian, jika kita menoleh lapan tahun ke belakang, kita dapat lihat bagaimana dua entiti besar politik tanah air telah bersatu dan menjadi sebuah pakatan yang benar-benar menjaga kebajikan rakyat di bawah slogan negara berkebajikan.” Panel forum yang kelihatan sangat tua itu berhenti seketika untuk meneguk air. Dia membetulkan serban putihnya lalu menyambung.
“Saya sudah tua. Selaku penasihat sebuah parti Islam, saya menyeru kepada Ar-Rijal semua untuk menimba sebanyak mungkin juntaian hikmah di ladang ilmu ini. Sesungguhnya pemuda hari ini adalah pemimpin hari esok. Sekarang, sahabat baik saya Pak Jib sedang mengadakan lawatan di IPT seluruh Perak walaupun beliau sangat sibuk dengan kerenah pertukaran status negara maju. Kerana kami sedar betapa besarnya peranan anak muda hari ini dalam membangunkan negara kelak.”
Suasana menjadi sangat sunyi apabila penceramah berhenti bercakap untuk mengumpul nafas. Semua hadirin tekun mendengar. Kebanyakannya sedang mencatat.
“Kita semua mesti ingat bahawa arah tujuan kita tidak boleh berubah. Kesediaan Perdana Menteri kita untuk menerima sistem pemerintahan Islam adalah faktor utama kepada penyatuan ini…”
Pemimpin Negara semakin bingung. Dia juga sangat kenal dengan susuk tubuh yang berada di atas pentas itu. Jubah putih, serban putih tidak pernah berubah walaupun wajahnya kelihatan lebih tua dari biasa. Kepalanya terasa sangat berat. Perasaan bercampur baur antara sedih, terkejut, marah, bingung dan takut. Air mineral di tangannya sudah habis diminum. Serasa Pemimpin Negara ingin menjerit sekuat hati. Tidak percaya dengan apa yang sedang dilihatnya..
“Tidaaakk!!..”
Pemimpin Negara membuka mata. Titik peluh sejuk memenuhi dahi. Suhu dalam bilik itu masih sejuk ditiup penghawa dingin. Jam dinding ukiran kayu jati menunjukkan tepat pukul 5 subuh. Isterinya yang tadi nyenyak tidur bingkas bangun meladeni suaminya dan mengesat peluh di dahi. Sungguh dia isteri yang sangat sayangkan suami.
“mimpi yang sama lagi ke bang?”
Pemimpin Negara tertunduk. Dia meneguk air kosong yang disediakan di tepi katil.
“Tak! Yang ini lain..”
Dia mencapai gagang telefon dan menekan punat satu.
“Ya tuan.. ada apa yang boleh saya bantu?” pembantunya menjawab dengan pantas.
“Err.. awal pagi esok saya nak jumpa imam Masjid Putra untuk berbincang sesuatu. Awak tolong aturkan itu dan juga buat persiapan untuk saya ke sana sekarang.” Arahan jelas diberikan.
“Abang nak ke Putrajaya? Sekarang? Nak buat apa?.” Mak Mah mengesat matanya yang masih belum terbuka sepenuhnya.
“Nak solat Subuh!.”
Mak Mah turun dari katil. Ingatannya kembali kepada peristiwa istimewa yang dialaminya semasa menunaikan haji bersama suami baru-baru ini. Entah kenapa pada masa itu hatinya tergerak untuk membeli sehelai telekung biasa berwarna putih dengan harga hanya sepuluh dirham. Telekung itu masih tersimpan rapi di almari pakaiannya. Adakah ini masanya?..
“Abang! Tunggu.. Mah nak ikut..!”
“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan Yang keji dan mungkar serta kezaliman. ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.” [16:90]
{1} CERAPAN = Cerpen Agak Panjang
{2} Tundukkan hati, ms 75
0 Perbincangan:
Post a Comment