Sumber: Puadede
Semasa aku tingkatan satu, sekolah aku masih di bangunan lama. Kata orang, dulu bangunan itu milik askar jepun.
Semasa aku tingkatan satu, kelas aku adalah surau yang dipecahkan kepada empat bahagian. Kelas kadua, ketiga, keempat dan kelima. Kelas pertama berada di bangunan khas sendiri berkongsi dengan klinik Matematik.
Peraturan sekolah pada masa itu, semua pelajar dilarang berada dalam kelas semasa waktu rehat. Kecuali kelas kami di surau. Masakan cikgu mahu larang kami berehat di dalam surau.
[Jeda]
Seperti hari-hari biasa, aku dan dua orang geng keras lepak dalam kelas/surau semasa waktu rehat.
“Kamu tidak rehat?” Ustazah menegur perlahan. Dia ustazah baru di sini. Mungkin guru praktikal. Aku pun tidak pasti.
…..
“Kenapa tidak makan?” Dia menyambung.
…..
“Pergi sekolah bawa duit belanja?” Dia masih cuba untuk masuk dalam perbualan kami.
“Bawa” Jawab Lan ringkas.
“Berapa?”
“Bapa bagi 50 ringgit setiap awal bulan”.
“Wah. Banyak tu. Tapi mesti awak pandai menyimpan kan.” Puji ustazah.
…..
“Awak?” Tiba-tiba ustazah berpaling ke arah aku.
“Erk!. 20 sen sehari.”
“Cukup?”
“Cukup kalau disimpan.”
“Bagus!” puji ustazah lagi.
…..
“Awak?” Ustazah kemudian mengarahkan perhatian kepada Muhammad Abdullah.
“Saya tidak bawa.”
“Ooo..” Reaksi yang tidak memerlukan penjelasan lanjut.
Ustazah itu kemudian memberikan kami beberapa butir nasihat. Khas untuk kami bertiga. Dengan harapan kami akan menjadi anak yang berguna pada masa itu dan masa hadapan.
Sebelum ustazah berlalu pergi, aku sempat bertanya maksud di sebalik nama beliau Fatahiyyah. Dia kata ‘Kejayaan’ dan mendoakan kejayaan aku kelak.
[Jeda]
Dua belas tahun berlalu, hari raya baru-baru ini aku sempat bertemu dengan kawan-kawan sekelas dan beraya bersama-sama.
Tiba-tiba Isma membuka serita semasa tingkatan satu. Dia sebagai pelajar di kelas pertama curi-curi makan di dalam kelas.
Bukan tidak mahu ke kantin. Tapi juadah yang dia makan adalah bekalan yang dibawa dari rumah. Pada masa itu, mana ada lagi orang yang membawa bekalan makanan ke sekolah.
Tapi, semasa dia sedang berselera makan, guru disiplin yang paling digeruni menghampiri beliau dari belakang dan Paaaapppp!!…
Sedas rotan melekat di belakang Isma. Isma kaget dan berpaling ke belakang.
“Makan dalam kelas!” Ustaz Amir selaku guru disiplin meninggikan suara.
Dengan perlahan dan mulut yang penuh dengan nasi, Isma menutup bekal makanan yang dibawanya dan menyimpannya semula di dalam beg sekolah.
Ustaz Amir terkedu. Dia telah merotan seorang pelajar yang sedang makan bekalan dari rumah.
Dia segera berlalu keluar kelas dan mundar mandir beberapa saat di beranda. Dengan dada berat, dia menahan sebak entah datang dari mana dan masuk semula ke dalam kelas.
Ustaz Amir memegang bahu Isma. Dengan mata berkaca-kaca, dia meminta maaf dan mengizinkan Isma sambung makan semula.
Menurut Isma, Ustaz Amir Mahmud menangis pada hari itu…
[jeda]
Al-Fatihah buat Ustaz Amir yang telah kembali ke rahmatullah pada Januari 2013. Semoga roh Ustaz ditempatkan bersama orang-orang soleh dan segala ilmu yang diajarkan kepada kami dikira sebagai pahala yang berterusan.
Nota:
Di mata aku semasa sekolah, Ustaz adalah calon guru disiplin yang terbaik. manakala Ustazah adalah calon guru kaunseling yang terbaik.
Tapi selepas berkawan dengan Ustaz Ustazah di IPT, rupanya dua-dua pun sama juga...
..
0 Perbincangan:
Post a Comment