Sejauh mana suatu jarak itu akan dipanggil jauh?
Setinggi mana suatu menara itu akan dipanggil tinggi?
Ianya pasti bergantung kepada siapa orang yang ingin memanjatnya. Apa yang pasti, keterburuan adalah suatu yang tidak perlu dalam memanjat menara masing-masing. Kerana sepanjang perjalanan menuju puncak itu terdapat banyak persinggahan atau tempat berehat dan pendakian itu bukan suatu yang mudah.
Novel MENARA karya Isa Kamari ini tidak dinafikan sebagai sebuah novel yang paling susah untuk saya fahami sejak bergelumang dengan buku. Tafsiran menara itu sendiri berbeza-beza mengikut corak pemikiran pembaca.
Dari satu sudut, menara dalam novel ini boleh diertikan sebagai sebuah menara yang menjadi mercu tanda Negara ‘singa duyung’ yang direka oleh seorang anak kampung yang sedang menuju kemuncak kerjayanya. Manakala di sudut lain pula, ia juga boleh dilihat sebagai satu perjalanan hidup yang pastinya memerlukan teman. Jalan yang meletihkan tapi mempunyai matlamat yang jelas iaitu untuk menuju ke puncak.
Menurut penulis, menara menceritakan hari-hari terakhir seorang arkitek yang mengalami keasingan dalam hidupnya. Dia seakan-akan mengalami semacam psikosis atau iagauan semasa mendaki menara ciptaannya. Penyusunan bab dalam novel ini begitu menarik kerana penulis telah meletakkan ingatan (imbas kembali) dan jalan utama cerita (semasa mendaki) secara berselang-seli. Ini membenarkan pembaca dapat mengenali watak utama dalam novel ini sedikit demi sedikit.
Terdapat banyak perbincangan yang ada di dalam novel ini. Ia pastinya menyentap pemikiran pembaca dan mentafsirnya mengikut persepsi masing-masing. Apa yang pasti, pembaca dengan mudah dapat menggambarkan jalan cerita dan seolah-olah dapat melihatnya di depan mata.
“kegilaan ibarat berada dalam igauan panjang, di mana kau cuba menjerit meminta pertolongan tetapi tiada suara yang keluar daripada kerongkongmu. Jika kau Berjaya menjerit, tiada sesiapa yang mahu mendengar ataupun mengertinya pula. Kau tidak akan terjaga daripada igauan itu melainkan ada orang yang mahu mendengar dan mengejutkanmu. Bagi orang demikian, masyarakatlah yang dipandangnya tidak waras. Masyarakatlah yang tidak mengerti”
Catatan:
1. Novel ni memang susah nak faham
2. Untuk menyampaikan sesuatu, penulis selalu menggunakan ayat yang bertapis bagi menjernihkan lagi maksud yang ingin disampaikan mengikut tahap pemikiran pembaca.
3. Kadang-kadang ada perasaan seram yang menyusup dalam jiwa semasa membacanya.
4. Saya sangat kasihan dengan watak dalam novel ini..mungkin dia adalah pembaca sendiri..
Tajuk: Menara
Tebal: 194 mukasurat
Penulis: Isa Kamari
Harga: RM 18.50
Kedai: Quong Ming SDN. BHD Tawau
Penerbit: PTS Litera Utama SDN. BHD
0 Perbincangan:
Post a Comment