Friday, January 10, 2014
Syukur
Usai solat subuh berjemaah di surau kampung, Pak Abu bergegas pulang. Semasa sinar mentari masih lagi bermalas-malasan menerjah permukaan bumi, Pak Abu sudah berada di kebun kecil di belakang rumah menyiram tanamannya dari pelbagai jenis sayuran. Rumput-rumput yang cuba menjajah kawasan tanaman dicabut dengan tekun. Siap!.
Pak Abu kemudian masuk ke dalam kandang ayamnya untuk memberi makanan ayam jenis baja untuk ayam betina yang akan bertelur dan makanan ayam jenis jagung kering untuk ayam jantan baka siam. Ayam lain tidak diberikan makanan dan hanya dilepaskan bebas ke luar kandang mencari sendiri rezeki mereka. Hari ini masih lagi belum ada telur ayam kampung yang ditemui di kandang ayamnya. Pak Abu menghela nafas panjang.
Beliau kemudian bergegas masuk ke rumah untuk bersiap pergi ke Bandar. Ada urusan penting yang perlu dibereskan.
Setelah sejam setengah menuggu bas di simpang kampung yang sejauh lima batang rokok dari rumahnya, akhirnya van penumpang pun tiba untuk mengangkut penumpang ke Bandar. Walaupun awal pagi, tingkap van yang dipanggil bas dibuka luas untuk membenarkan udara segar kampung menerobos masuk ke dalam perut van yang sesak dan usang itu.
“Nah..” Pak Abu menghulurkan tiga keping not seringgit kepada pemandu bas sebelum berlalu pergi.
“Pak cik!”
“Ya?” Pak Abu menoleh apabila dipanggil oleh pemandu bas.
“Mana cukup ni. Sekarang tambang empat ringgit sudah bah”.
Dengan muka bingung Pak Abu menghampiri pemandu bas yang masih duduk di tempat pemanduannya.
“Wainaa.. kau kasi naik tambang seringgit? Dulu-dulu aku pi Bandar tiga ringgit jak bah”.
“Itu dulu pak cik. Sekarang harga minyak sudah naik.”
Pak Abu menarik nafas berat.
“Hutang! Nanti pulang aku bayar”.
Pak Abu berlalu pergi lalu menuju sebuah restoran mamak untuk bersarapan. Beliau sanggup menagguh sarapannya untuk sampai awal ke Bandar pada hari ini. Teh O suam dengan roti kosong menjadi pilihan hidangan yang paling sedap baginya untuk harga yang berpatutan. Banginya lah. Walaupun dia terpaksa membayar dengan harga beberapa sen lebih mahal dari sangkaannya dengan alasan harga gula naik.
[jeda]
Pukul dua petang, akhirnya Pak Abu keluar dari bangunan besar berdinding kaca itu bersama dengan sampul surat dan senyuman yang menguntum di bibir. Orang di sana kata, slip yang ada di dalam sampul surat ini perlu dihantar ke bank untuk ditunaikan menjadi wang sebanyak lima ratus ringgit.
Beliau berjalan pantas dengan kudrat tuanya menuju masjid besar di Bandar tersebut untuk menunaikan solat zohor terlebih dahulu sebelum ke bank. Kerana Pak Abu tahu beliau akan berada di sana menunggu giliran sehingga petang. Dalam benaknya beliau memanjatkan puji dan syukur ke hadrat Ilahi kerana mengurniakan warganegara sepertinya pemimpin yang sangat prihatin dengan masalah rakyat. Hatta Dr. Mahathir yang beliau paling sanjungi sendiri pun tidak pernah memberinya wang secara terus sebegini.
Sampul surat warna putih disisipkan ke dalam poket kemeja kotak-kotak yang dipakainya.
“Ndak sia-sia aku mengundi kamu. Itu hari dapat dua ratus ringgit dengan tangki biru, sekarang dapat lagi lima ratus.”
[jeda]
Di kejauhan nun di sebuah Negara penjual minyak, seorang ibu yang sangat menyayangi anaknya menuding jadi kearah sebentuk cincin berlian.
“I want that”
“Madam, the price of the rin….”
“Shut up. I don’t ask you the price!”.
…
...
Labels:
Certot,
Luahan Rasa
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Perbincangan:
Post a Comment