Mamat (bukan nama sebenar) bersiap-siap di dalam biliknya sejak sejam yang lalu. Dia ada temuduga yang sangat penting hari ini. Kerja kerajaan sebagai pegawai pentadbiran. Kemeja biru muda berkain licin disarungkan di tubuh dan dipadankan dengan tali leher warna biru tua. Seluar slack sudah siap diseterika semalam. Bucu bukan main tajam. Kasut kulit crocodile berkilat disarungkan ke kaki yang sudah dibungkus dengan stoking Pierre Cardin.
“Hoi Mat! Ko mau pi mana? Bukan main hensemboi lagi?!” Pak Hasim menyapa keras.
Mamat hanya tersengih sambil menggosok-gosok bawah hidung dengan jari telunjuk.
“Nak jumpa awek lettew!” Mak Mah menyambung.
Mamat hanya diam sambil melemparkan senyuman paling manis kepada jiran-jirannya sebelum menghidupkan enjin motosikal.
***
Prof. Dr. Haji Abdul Malik bin Karim bin Amrullah atau Hamka pernah berkata dalam bukunya yang bertajuk ‘bohong di dunia’, salah satu dari bohong diam dan bohong samar adalah apabila seseorang hanya tersenyum ketika ditanya tentang sesuatu yang tidak benar tentangnya.
Jadi, adakah Mamat seorang penipu?. Naaa..
Ada beberapa cara orang berhadapan dengan soalan. Bagi yang berkeadaan normal dan ditanya dengan soalan normal, ia tidak menjadi masalah jika orang tersebut terus menjawabnya. Sebagai contoh, orang yang baru berkenalan biasanya akan bertanya nama, tempat tinggal, pelajaran, hobi, warna kegemaran, status dan sebagainya. Dan biasanya orang tidak kekok untuk menjawabnya. Tapi, berlainan pula dengan;
Peng-google
Ini adalah golongan yang saya tidak suka. Mula-mula mereka akan kemaskini status dalam Facebook tentang betapa bencinya mereka dengan bajet Negara 2014 yang jelas membebankan rakyat dan betapa pengukuhan pengurusan fiskal tidak selari dengan salah satu tema bajet itu sendiri iaitu melaksana janji.
Tapi apabila seseorang datang komen dan tanya apa itu fiskal?, dia suruh google. Ceh… kalau tidak tahu, cakap tidak tahu. Kalau semua soalan dijawab dengan “sila Google”, adik aku pun boleh jadi ahli politik.
Pe-rahsia
Kadang-kadang, ada soalan yang memang tidak perlu dijawab dan sangat perlu dirahsiakan. Seperti aib orang dan diri sendiri serta dalam hal yang melibatkan keselamatan, perancangan dan sebagainya. Untuk orang yang memahami, dengan hanya menjawab ‘maaf, ini adalah rahsia’ amat mudah. Tapi untuk orang yang tidak peduli dengan rahsia, kadang-kadang ada mangsa yang hanya menjawab ‘haaa… ada laaa..’ dan ada juga yang lebih selesa untuk mengalihkan tajuk perbincangan. Asalkan kita tidak tergolong dalam golongan yang seterusnya iaitu;
Penipu
Pasal tipu, tidak perlu penjelasan lanjut. Kalau dia bagi maklumat salah, dia menipu.
‘Hua hudah hon the way!’ kata Bidin sambil menggosok gigi dalam bilik air rumahnya.
‘Saya yakin dengan kecantikan semula jadi saya’ kata Milah sambil menyapu tepung Avon ke mukanya.
‘Eh, tak lah! Saya tengah basuh kapal terbang ni ha!’ Kata Pak Mon malas-malas.
‘Sejak saya kurangkan gula dalam minuman, tenaga batin saya semakin meningkat’ Kata macai.
Hazar
Hazar atau tersembunyi atau berhati-hati sangat popular di kalangan orang yang ingin menjaga kerahsiaan tapi dalam masa yang sama mereka sedar bahawa menipu itu adalah berdosa.
Abu bakar pernah ditanya ketika sedang berhijrah secara rahsia dengan Rasulullah ke Madinah dengan soalan yang agak bahaya dengan misi mereka iaitu siapa orang yang bersama dengan beliau. Maka beliau menjawab orang yang bersamanya adalah penunjuk jalan. Poin penting dari jawapan beliau adalah beliau tidak menipu tentang siapa Rasulullah sebenarnya iaitu penunjuk jalan kebenaran dan juga menjawab soalan orang yang bertanya tadi. Mungkin dalam situasi ini, menjawab ‘maaf, ini adalah rahsia’ adalah tidak sesuai sama sekali. Wallahu alam.
Penyoal
Selalu orang marah dengan soalan yang dijawab dengan soalan. Tapi kadang-kadang saya suka menggunakan cara menjawab ini apabila teknik hazar tidak berkesan. Ada satu masa, ia selalu berlaku apabila saya bergaul dengan masyarakat yang suka bergurau dan ‘live their life to the fullest’. Mereka sering bertanya soalan yang bagi saya tidak patut ditanya dan agak mengaibkan seperti ‘kau minat awek kaunter tiket wayang tu ka, awek pelayan sedap corner?’. Biasanya soalan ini perlu dijawab dengan soalan.
‘Kau mahu aku jawab apa?’
‘Jawab soalan tadi la’
‘kau mahu aku jawab jujur ka, jawab menipu?’
‘Jawab jujur la’
‘kalau aku jawab menipu?’
‘Jawapan kau ya ka, tidak?’
‘Ya tapi aku tidak mahu bagitahu aku jujur atau tipu’
‘aik?’
‘Kalau aku jawab ya tapi aku sebenarnya menipu, maka jawapan aku tidak. So, we called it bluffing.’
‘Arrrr…’
‘Sekarang mungkin kau fikir aku tipu kau pasal aku menipu. Maka tadi aku jawab ya tapi jawapan aku tidak sebab aku menipu. Kemudian kau fikir aku menipu pasal itu lalu menjadikan jawapan aku ya. So we called it double bluffing.’
‘Haaaa?’
‘Tapi disebabkan kau ni pandai dan sudah menjangka aku akan goreng macam ini, kau dari awal lagi sudah reverse jawapan aku tadi. Maka jawapan asal aku ya dan kemudiannya menipu dan menjadi tidak itu lalu kau tahu bahawa aku akan menipu kemudian jawapan aku menjadi ya. Tapi atas kebijaksanaan kau, kau tahu bahawa aku tahu kemungkinan yang kau akan tahu tentang penipuan aku tadi. Maka kau pun bluff-kan jawapan itu menjadi tidak. So we called it triple bluffing.’
‘Arrrgghhh… diam! Ungghh.. ungghhh… unggghhhh… diam lah kau!’
Penutup
Dalam kehidupan seharian di dalam kilang, saya sering berdepan dengan pelbagai soalan. Kalau dalam mesyuarat, saya lebih suka berterus terang walaupun ia akan menyusahkan saya. Tapi kadang-kadang saya ber-hazar dengan bos untuk selamatkan diri. Dan kadang-kadang saya ditanya dengan soalan yang pelik dari rakan sekerja dan biasanya saya akan jawab ‘Gua tidak mahu jawab. Paduli kamu di sana! Kah kah kah. Yang penting adalah berani berdepan dengan soalan bukan macam artis yang lari dari soalan gosip dan menteri yang lari dari soalan rakyat. Whoa!
...
Tuesday, October 29, 2013
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Perbincangan:
Post a Comment